600 juta rakyat Afrika tiada akses elektrik

600 juta rakyat Afrika tiada akses elektrik

TALIAN elektrik bertekanan tinggi merintangi kawasan setinggan Makoko di Lagos, Nigeria, Sabtu, 20 Ogos 2022.-AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Pada zaman yang serba canggih dan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini, masih ada penduduk di sebahagian dunia yang tidak mempunyai akses elektrik.

Lapor AP, di benua Afrika, Agen­si Tenaga Antarabangsa (IEA) merekodkan sebanyak 43 peratus iaitu lebih 600 juta penduduk Afrika tidak mendapat akses berkenaan dengan 590 juta daripada­nya tinggal di sub-sahara.

Malah, pelaburan hampir AS$20 bilion (RM88.546 bilion) diperlukan setiap tahun untuk mencapai elektrifikasi universal di seluruh sub-sahara Afrika, menurut anggaran Bank Dunia.

Daripada jumlah itu, hampir AS$10 bilion (RM44.272 bi­lion) diperlukan setiap tahun untuk membawa kuasa dan mengekalkannya di Afrika Barat dan Tengah.

BANTUT EKONOMI
Pakar tenaga juga memberi amaran, kekurangan tenaga elektrik yang melanda kebanyakan 54 buah negara di Afrika menjadi masalah serius kepada pertumbuhan ekonomi benua itu.

Dalam beberapa tahun ke­belakangan ini, penjanaan kuasa di Afrika Selatan menjadi sangat tidak mencukupi sehinggakan ekonomi paling maju di benua itu berdepan dengan masalah terputus elektrik selama lapan hingga 10 jam sehari.

Malah, bandar-bandar besar di benua itu mempunyai bekalan elektrik tidak menentu, namun, sebahagian besar kawasan di luar bandar di benua itu tidak mempunyai kuasa elektrik.

INFRASTRUKTUR LAPUK
Pakar tenaga di Witwater­srand University Business School di Johannesburg, Andrew Lawrence berkata, terdapat banyak sebab untuk masalah elektrik di Afrika termasuk infrastruktur lapuk, kekura­ngan pengawasan kerajaan dan kekurangan kemahiran untuk mengekalkan grid nasional.

Malah, katanya, banyak rejim kolonial membina sistem elektrik yang sebahagian besarnya dikhaskan untuk penduduk ‘kulit putih’ minoriti dan menge­cualikan sebahagian besar penduduk ‘kulit hitam’.

“Afrika sebagai sebuah rantau harus menjadi antara penerima manfaat utama untuk mengembangkan akses elektrik di benua itu dan menambah baik grid kuasa yang sedang bergelut,” kata Lawrence.

Hari ini banyak negara Afrika bergantung pada utiliti kuasa milik kerajaan.

DIBIAYAI BARAT
Banyak perhatian tertumpu dalam dua tahun lalu pada Just Energy Transition yang dibiayai oleh Barat di mana Perancis, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menawarkan dana untuk membantu negara-negara miskin beralih daripada arang batu yang sangat mencemarkan kepada melancarkan penjanaan kuasa kepada sumber kuasa yang boleh diperbaharui dan mesra alam.

Lawrence menambah, peralihan sumber kuasa itu harus menyasarkan akses luar bandar dan meletakkan di barisan hadapan elektrifikasi benua secara keseluruhan.
“Ini adalah sesuatu yang mungkin dari segi teknikal,” katanya.

Kuasa Barat berikrar menyediakan AS$8.5 bilion (RM37,631 bilion) untuk membantu Afrika Selatan berpindah dari loji janakuasa arang batunya yang menghasilkan 80 peratus kuasa elektrik negara itu.

KESAN RUMAH HIJAU
Akibat pergantungannya kepada arang batu, Afrika Selatan kini menjadi antara 20 pemancar tertinggi gas rumah hijau, pemanasan global dan me­nyumbang hampir satu pertiga daripada pelepasan gas berkenaan di Afrika.

Rancangan Afrika Selatan untuk beralih daripada arang batu, bagaimanapun terhalang oleh keperluan mendesaknya untuk menghasilkan kuasa sebanyak mungkin setiap hari.

Negara Afrika Timur, Uganda selama bertahun-tahun juga bergelut dengan pemindahan tenaga walaupun pelaburan besar-besaran dalam penjanaan elektrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya