Turkiye tahan 78 suspek cetus provokasi di media sosial  - Utusan Malaysia

Turkiye tahan 78 suspek cetus provokasi di media sosial 

turkiye
JENGKAUT mengalihkan serpihan runtuhan bangunan di Hatay. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Polis Turkiye menahan 78 individu yang didakwa mencetuskan ketakutan dan panik dengan berkongsi `hantaran berunsur provokatif’ mengenai kejadian gempa bumi minggu lalu dalam laman media sosial.    

Malah, seramai 20 individu daripada suspek berkenaan, kini ditahan menjelang prosiding mahkamah terhadap mereka.

Ketika ini, angka kematian di Turkiye dan Syria akibat gempa bumi sudah melepasi 41,000 orang dengan jutaan mangsa masih memerlukan bantuan kemanusiaan.

Menurut Direktorat Keselamatan Am Turkiye, pihaknya mengenal pasti seramai 613 orang yang didakwa memuat naik hantaran provokatif, dengan prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap 293 daripada kumpulan individu berkenaan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, ketua pendakwa raya mengarahkan 78 orang ditahan. 

Jelas jabatan itu, sebanyak 46 laman sesawang turut ditutup setelah dikesan penipuan dalam usaha mencuri derma disumbangkan kepada mangsa gempa.

Jabatan itu menyatakan pihaknya juga menutup sebanyak 15 akaun media sosial yang kononnya menyamar sebagai institusi rasmi.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Turkiye, Fahrettin Altun dalam satu ciapan di Twitter memaklumkan negara itu menghadapi ‘pencemaran’ maklumat yang serius.

Katanya, pihak berkuasa akan berkongsi informasi dan berita bagi menangkis maklumat palsu itu. 

Jelasnya, sebanyak 6,200 maklumat dan berita palsu dilaporkan kepada kerajaan dalam tempoh seminggu selepas bencana itu berlaku. 

Pada Oktober tahun lalu, Parlimen Turkiye meluluskan undang-undang media baharu yang menyaksikan wartawan dan para pengguna media sosial dipenjarakan sehingga tiga tahun kerana menyebarkan berita palsu.

Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi dan negara Eropah mengenai kebebasan bersuara terutamanya menjelang pilihan raya presiden dan umum yang dijadualkan pada musim panas ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya