JAKARTA: Pasangan adik beradik Hartono tidak lagi bergelar orang terkaya Indonesia selepas takhta yang dipegang lebih satu dekad itu berjaya dirampas pengusaha arang batu, Low Tuck Kwong dalam senarai terbaharu yang dikeluarkan Forbes minggu ini.
Berdasarkan data Real Time Billionaires Forbes Jumaat lalu, kedudukan teratas dalam senarai individu terkaya di Indonesia kini dipegang oleh Tuck Kwong.
Pengusaha arang batu yang merupakan pengasas Bayan Resources itu mempunyai kekayaan berjumlah AS$25.7 bilion (RM113 bilion)
Jumlah kekayaan itu turut meletakkan beliau di tangga ke-56 orang terkaya di dunia.
Sementara itu, kekayaan Robert Budi Hartono dan Michael Budi Hartono masing-masing ialah AS$ 23.9 bilion (RM105.9 bilion) dan AS$ 23 bilion (RM101.9 bilion), sekali gus menjadikan mereka orang kedua terkaya di Indonesia selain berada di kedudukan ke-63 serta 65 terkaya di dunia.
Berdasarkan rekod detikcom, Tuck Kwong telah berjaya mengatasi kedudukan teratas orang terkaya Indonesia sejak 26 Disember 2022 berdasarkan pemilikan saham syarikatnya yang melonjak tinggi sepanjang tahun lalu.
Selain memiliki Bayan Resources, Tuck Kwong juga mengawal syarikat Metis Energy yang terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Singapura termasuk berperanan di syarikat The Farrer Park Company, Samindo Resources dan Voksel Electric.
Beliau juga terlibat dalam SEAX Global yang sedang membina sistem kabel dasar laut untuk sambungan internet yang menghubungkan Singapura, Indonesia dan Malaysia.