HATAY: Hampir separuh daripada mayat mangsa gempa bumi yang ditemukan di bawah runtuhan bangunan di bandar Iskenderun, Turkiye masih gagal dikenal pasti.
Perkara itu dilaporkan oleh wartawan Al Jazeera, Bernard Smith ketika membuat liputan berita mengenai situasi semasa di kawasan terjejas akibat gempa bumi.
Menurut laporan itu, kebanyakan mayat mangsa yang identiti belum dikenal pasti terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan di Iskenderun.
Malah, jelas laporan itu, tanah perkuburan itu juga hampir penuh.
“Pengebumian mayat mangsa itu dilakukan dalam satu upacara yang ringkas tanpa kehadiran orang ramai.
“Kadang kala, mayat yang tidak lengkap juga dikebumikan,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa itu dikebumikan tanpa nama, sebaliknya pusara mereka ditandakan dengan nombor.
“Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mayat mangsa sudah diambil sekiranya ada ahli keluarga atau kenalan mencari mereka,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye baru-baru ini disifatkan tiga kali ganda lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara yang berlaku di barat laut negara itu pada tahun 1999.
Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud menjejaskan lebih 13 juta penduduk yang tinggal di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Ketika ini, seramai 160,000 anggota penyelamat termasuk pasukan dari luar negara sedang bertugas di 10 wilayah itu.










