Taufan Gabrielle: New Zealand isytihar darurat

Taufan Gabrielle: New Zealand isytihar darurat

SEORANG penduduk mengharungi selut di Muriwai, Auckland selepas Taufan Gabrielle menyebabkan kerosakan besar di seluruh North Island, New Zealand. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUCKLAND: Kerajaan New Zealand mengisytiharkan darurat apabila Taufan Gabrielle semakin memburuk dengan menghanyutkan jalan raya, menenggelamkan rumah dan menyebabkan lebih 100,000 orang terputus bekalan elektrik.

Angin kencang dan hujan lebat melanda North Island yang berpenduduk padat di negara itu.

Lebih tiga perempat daripada lima juta penduduk New Zealand tinggal di North Island, di mana ribut itu membadai.

Perdana Menteri, Chris Hipkins berkata, kerajaan menganggap fenomena alam itu sebagai peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ia adalah malam yang besar untuk warga New Zealand. Banyak keluarga yang berpindah, banyak rumah tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Terdapat kerosakan yang meluas di seluruh negara,” kata Hipkins kepada pemberita di Auckland.

Ini adalah kali ketiga New Zealand mengisytiharkan darurat selepas serangan Christchurch 2019 dan pandemik Covid-19.

Tinjauan yang dijalankan menunjukkan jalan raya dimusnahkan oleh tanah runtuh, rumah tertimbus dalam lumpur, kelodak dan sisa-sisa ribut yang dahsyat.

Pokok tumbang memutuskan talian elektrik dan air banjir menghalang beberapa jalan menyebabkan masyarakat di seluruh utara negara itu terkandas.

Media tempatan melaporkan ada yang terpaksa berenang dari rumah mereka ke tempat selamat manakala yang lain mengharungi air ribut dengan berjalan kaki.

Seorang penduduk komuniti Pantai Muriwai, Jane Scott berkata, pada tengah malam, dia mendapat teks kecemasan dari agensi kerajaan yang mengatakan kosongkan kediaman.

Lalu, dia mengumpulkan beberapa barang keperluan sebelum mencari tempat perlindungan di pusat komuniti setempat.

“Ia gelap gulita dan hujan lebat. Ia sangat menakutkan.” ,” katanya kepada saluran tempatan TVNZ.

Taufan Gabrielle terbentuk di luar pantai timur laut Australia iaitu di Laut Karang pada 8 Februari lalu, sebelum melanda Pasifik Selatan.

Ia melanda pantai utara New Zealand pada Ahad lalu yang membawa angin ribut 140 kilometer sejam dengan hujan 20 sentimeter dalam tempoh 24 jam dan ombak setinggi 11 meter.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya