JAKARTA: Sektor perniagaan hotel, restoran dan hartanah dilaporkan bakal terjejas apabila Jakarta bukan lagi ibu negara Indonesia pada 2024.
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (INDEF), Tauhid Ahmad berkata, perkara itu berlaku apabila bajet untuk mengadakan mesyuarat antara kementerian dan agensi kerajaan pusat dialihkan ke ibu kota negara (IKN) baharu di Kalimantan Timur.
“Kebanyakan kitaran aliran kewangan datang daripada kerajaan pusat. Sebaik sahaja kerajaan pusat bergerak, aliran tunai kerajaan pusat secara automatik akan berpindah ke Kalimantan Timur.
“Mesyuarat atau pertemuan antara agensi biasanya diadakan di restoran atau hotel terkenal di Jakarta. Jika bajet kerajaan digerakkan, sudah tentu pendapatan restoran dan hotel daripada kerajaan akan berkurangan dengan ketara.
“Kalimantan Timur pula akan merasai peningkatan pendapatan terutama di Balikpapan dan Samarinda kerana hotel-hotel yang sudah siap sekarang ada di sana,” jelasnya kepada Detikcom.
Bukan itu sahaja, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di sekitar kementerian agensi yang turut memindahkan kakitangan ke Kalimantan Timur juga akan terjejas.
“Contohnya di bangunan Sekretariat Negara jika pekerja sudah berpindah ke IKN, pasti gerai-gerai sekitarnya akan sunyi kerana selalunya akan ada kakitangan yang membeli dari siang ke malam,” jelasnya.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Pusat Pembaharuan Ekonomi Indonesia (CORE), Mohammad Faisal percaya pusat perniagaan itu akan tetap tertumpu di Jawa khususnya di kawasan Jabodetabek.
Menurutnya, ia mengambil masa puluhan tahun untuk melihat perubahan berikutan perpindahan IKN dari Jakarta ke Kalimantan Timur.
“Pemindahan itu mengambil masa beberapa dekad. Kita boleh lihat negara yang telah memindahkan ibu kota mereka, ada yang malah tidak berubah sehingga sekarang,” katanya