Pengawal pantai Itali temukan lapan mayat pendatang - Utusan Malaysia

Pengawal pantai Itali temukan lapan mayat pendatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Pengawal pantai Itali menemukan mayat lapan pendatang termasuk seorang wanita hamil, dari bot yang mengalami kesukaran di tengah Mediterranean.

Datuk Bandar Pulau Lampedusa, Filippo Mannino berkata, pengawal pantai menemukan mayat, lima lelaki dan tiga wanita bersama 42 lagi pendatang yang terselamat.

“Pendatang yang diselamatkan ditemui dalam keadaan basah kuyup dan mereka yang terkorban dipercayai mati kerana kesejukan dan kelaparan,” jelas laporan media Itali, memetik penterjemah yang bercakap dengan mangsa yang terselamat.

Lapor agensi berita ANSA, pendatang itu belayar dari Sfax di Tunisia pada awal pagi Sabtu.

Kematian itu berlaku ketika kerajaan sayap kanan baharu Itali bertelagah dengan Majlis Eropah, agensi hak asasi manusia terkemuka di benua itu, berhubung tindakan kerasnya terhadap kapal penyelamat amal yang beroperasi di tengah Mediterranean.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, hampir 5,000 pendatang mendarat di Itali sejak awal tahun ini, meningkat daripada lebih 3,000 dalam tempoh yang sama tahun lalu dan hanya 1,000 pada tahun 2021.

Kerajaan Perdana Menteri, Giorgia Meloni menuduh kapal amal bertindak sebagai faktor penarik dan menggalakkan penyeludupan manusia.

Kapal amal hanya menyelamatkan peratusan kecil sekitar 10 peratus pendatang yang dibawa ke tempat selamat di Itali, manakala kebanyakannya diselamatkan oleh kapal pengawal pantai atau tentera laut Itali.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN