BADUNG: Seorang pemandu teksi motosikal dalam talian atau dipanggil ‘ojol’, berjaya menggagalkan penghantaran dadah jenis kokain yang dipesan oleh warga India yang bercuti di Bali kelmarin.
Ketua Polis Badung, Leo Dedy DeFretes berkata, warga India itu berjaya ditahan bersama dengan kokain seberat 1.8 gram di Jalan Pantai Brawa di Kampung Tibubeneng di daerah Kuta Utara.
Pendedahan bermula apabila pemandu teksi motosikal berkenaan mengesyaki sesuatu mencurigakan pada pakej yang akan dibawa ke tempat letak kereta kawasan hiburan malam itu dan segera membuat laporan polis.
“Pegawai polis trafik bersama pemandu berkenaan kemudian membawa pakej itu ke Balai Polis Kuta Utara untuk membuat pemeriksaan. Selepas dibuka, pakej didapati mengandungi kotak makanan ringan dan kotak kopi segera yang berisi tiga klip plastik dadah jenis kokain,” jelas Leo.
Pegawai polis segera mencari individu yang memesan pakej tersebut ke alamat destinasi dan pelancong asing itu kemudian ditangkap di lokasi berkenaan.
Menurut Leo, lelaki warganegara India itu datang ke Bali bersama keluarganya untuk bercuti dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes pesanan dadah tersebut.
“Kami akan terus menyiasat dan mendapatkan keterangan saksi-saksi sedia ada selain menjalankan analisis masyarakat. Jika disabit kesalahan, suspek bakal berdepan hukuman penjara maksimum selama 12 tahun.-AGENSI