SYDNEY: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang seekor buaya ketika cuba mengutip telur reptilia itu di sebuah kawasan terpencil di Northern Territory, Australia.
Lapor Daily Star, menurut polis, lelaki berusia 29 tahun itu sedang mengutip telur buaya di sepanjang Sungai Daly, selatan Darwin sebelum diserang oleh reptilia ganas itu.
Jelas polis, ketika kejadian, buaya itu turut membaham kaki lelaki sehingga menyebabkannya cedera parah, namun lelaki itu berjaya melepaskan diri daripada rahang haiwan itu.
Polis berkata, lelaki itu dikejarkan ke Hospital Royal Darwin dengan helikopter dan ambulans.
“Lelaki itu sedang menjalani pembedahan kecemasan,” jelasnya.
Sementara itu, jurucakap pihak Kesihatan Northern Territory memaklumkan keadaan kesihatan mangsa semakin merosot dan kritikal.
Katanya, mangsa sudah dipindahkan ke Hospital Royal North Shore Sydney dan kesihatannya kritikal namun stabil.
Berdasarkan laporan Mail Online, lelaki itu bekerja sebagai pengutip telur buaya.
Individu dibenarkan mengutip telur buaya sejak tahun 2018, namun ia tertakluk kepada peraturan ketat.
Malah, mereka yang mempunyai lesen boleh mengutip telur yang membawa pulangan lumayan.
Telur buaya dijual pada harga kira-kira AS$30 (RM127.96) sebiji, manakala 60 biji telur dengan sarangnya boleh mencecah sehingga AS$1,800 (RM7,677).