JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan bahawa politik tidak sepatutnya memecah belahkan negara dan meminta setiap parti untuk memperkukuh kerjasama dalam semua aspek kehidupan demi perpaduan, integriti dan kemajuan negara.
Beliau berkata demikian pada perasmian bengkel dan mesyuarat Parti Amanat Nasional (PAN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum 2024 di Semarang di Jawa Tengah.
“Dalam politik, kerjasama itu wajib. Jangan sampai politik memecah belahkan kita,” katanya.
Beliau kemudian bertanya kepada mereka yang hadir mengapa Jawa Tengah dipilih menjadi tempat mengadakan mesyuarat penyelarasan nasional parti mereka.
Beliau mengesyaki alasan itu ada kaitan dengan usaha PAN mendekatkan diri dengan Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo yang sering disebut-sebut sebagai salah seorang calon Presiden 2024.
“Jadi malam tadi saya tertanya-tanya, kenapa mesyuarat ini diadakan di Jawa Tengah. Sekarang saya tahu jawapannya. Parti mahu mendekati Ganjar dan juga semua datuk bandar serta ketua daerah,” katanya lagi.
Menurut Jokowi, PAN mengambil langkah tepat dengan membentuk gabungan kerana kerjasama dalam politik amat penting untuk memupuk perpaduan selain mengekalkan integriti negara.
“Sekali lagi, kerjasama dan pakatan itu penting. Jangan tersalah pilih sekutu. Paling penting ialah memperkukuh kerjasama nasional untuk mengekalkan perpaduan kita,” tegasnya.
Beliau berkata, sepanjang lapan tahun pentadbirannya di bawah kerjasama yang mantap dengan parti politik yang bergabung, banyak perubahan positif dicapai terutama dalam aspek pembangunan di Indonesia.
“Biar saya tunjukkan kepada anda bagaimana peralihan itu. Pada masa lalu, pembangunan sentiasa berpusatkan Jawa. Hampir 70 peratus kemudahan infrastruktur dibina di Jawa. Kemudian kita alihkan model pembangunan infrastruktur secara sakasama di seluruh Indonesia.
“Sila ingat. Kita adalah sebuah negara besar dengan populasi kira-kira 282 juta orang yang tinggal di 17,000 ribu pulau. Kita tidak boleh menumpukan hanya di Pulau Jawa. Ini adalah anjakan yang saya tekankan,” katanya.