Gelombang haba melampau: Chile isytihar bencana - Utusan Malaysia

Gelombang haba melampau: Chile isytihar bencana

SEORANG pekerja cuba memadamkan kebakaran di Santa Juana, wilayah Concepcion di Chile. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTIAGO: Chile mengisytiharkan bencana di beberapa wilayah tengah selatan selepas gelombang haba dahsyat dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius, mencetuskan kebakaran hutan sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.

Menurut pihak berkuasa, lebih 100 rumah terjejas dan kawasan hutan seluas 29,000 hektar musnah sejak kebakaran berlaku pada Rabu lalu.

Ketua agensi pengurusan bencana negara, Senapred, Mauricio Tapia mengesahkan seramai 13 orang maut termasuk 11 mangsa di bandar Santa Juana.  

Menteri Pertanian Chile, Esteban Valenzuela memaklumkan dua kru sebuah helikopter yang berusaha memadamkan kebakaran itu, maut dalam nahas tersebut.

“Saya sangat sedih dengan nahas helikopter yang mengorbankan juruterbang dan seorang mekanik yang berusaha memadamkan kebakaran di wilayah La Araucania,” katanya.

Terdahulu, empat orang awam dan seorang anggota bomba dilaporkan maut dalam kebakaran itu.

Kerajaan mengisytiharkan bencana di wilayah Nuble dan Biobio, namun kebakaran dilaporkan turut menjejaskan wilayah Maule serta La Araucania.

Presiden Chile, Gabriel Boric menangguhkan cutinya untuk melawat kawasan yang terjejas, yang mana terdapat 204 kebakaran aktif. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 56  masih di luar kawalan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha berkata, empat orang awam meninggal dunia di wilayah Biobio.

Jelas Toha, dua daripada mangsa maut apabila api menyambar jalan yang mereka lalui, manakala dua lagi terkorban dalam nahas kereta mungkin ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran.

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan seorang anggota bomba turut maut.

Senapred dan perbadanan hutan negara CONAF memaklumkan sembilan orang cedera termasuk lapan anggota bomba. 

Kira-kira 2,300 anggota bomba dan 75 helikopter terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya