Ramai keluarga kaya raya tubuh pejabat di Singapura - Utusan Malaysia

Ramai keluarga kaya raya tubuh pejabat di Singapura

SINGAPURA menaikkan cukai hartanah bernilai tinggi dan kenderaan mewah bagi mengurangkan ketidaksamarataan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Lebih ramai keluarga yang kaya raya atau super-rich menubuhkan pejabat di republik ini untuk menguruskan harta kekayaaan mereka.

Bilangan penubuhan pejabat sedemikian meningkat hampir dua kali ganda berbanding jumlah dilaporkan dua tahun lalu.

Berdasarkan anggaran kerajaan, Singapura kini mempunyai kira-kira 700 buah pejabat keluarga, bertambah daripada 400 dicatatkan pada akhir 2020 serta meningkat tujuh kali ganda berbanding 2017.

Keluarga berkenaan bukan sahaja berasal dari Asia malah dari Eropah dan Amerika.

Menurut beberapa pemerhati industri, permintaan dari Asia adalah amat ketara memandangkan kekayaan persendirian di rantau itu berkembang lebih cepat berbanding negara lain di dunia.

“Pandemik mendorong ramai keluarga kaya menimbang semula pengurusan kekayaan mereka dan pelan penggantian untuk lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.

“Selain pejabat keluarga Asia, semakin ramai keluarga bukan Asia datang ke Singapura sama ada untuk menubuhkan pejabat keluarga atau pejabat satelit bagi menyokong pelaburan mereka di rantau ini,” kata ketua penasihat pejabat keluarga Bank Singapura, Carrie Ng.

Ketua persendirian Deloitte Asia Tenggara, Richard Loi menyifatkan peningkatan penubuhan pejabat keluarga itu didorong oleh pandemik Covid-19.

Katanya, pandemik itu memaksa individu dan keluarga yang memiliki kekayaan melimpah-ruah memikirkan semula cara untuk menjaga dan meningkatkan kekayaan mereka untuk generasi akan datang.          

Sementara itu, beberapa pakar lain berpandangan golongan itu turut tertarik untuk menubuhkan pejabat keluarga di Singapura kerana rekod prestasi negara yang kukuh sebagai hab kewangan dan pengurusan kekayaan.

Pemerhati turut mengemukakan beberapa faktor yang memberi kelebihan kepada Singapura berbanding hab kewangan lain seperti Hong Kong, Switzerland dan United Kingdom (UK).

“Ia antara lain mempunyai persekitaran politik dan kawal selia yang stabil, sektor perkhidmatan kewangan maju, tenaga kerja terlatih serta taraf hidup baik dengan kemudahan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang mantap,” katanya. – AGENSI     

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya