Projek karbon biru: Indonesia,Korea Selatan kongsi ilmu, kepakaran - Utusan Malaysia

Projek karbon biru: Indonesia,Korea Selatan kongsi ilmu, kepakaran

SEORANG nelayan membawa benih rumpai laut dalam botnya di perairan di kampung Bonto Jai, Bantaeng, Sulawesi Selatan. - ANTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pakar dari Indonesia dan Korea Selatan saling berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing dalam satu seminar kelmarin untuk menyokong projek karbon biru di republik itu.

Penolong Timbalan Jabatan Perubahan Iklim dan Mitigasi Bencana dibawah Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Kus Prisetiahadi berkata, seminar itu merupakan susulan kerjasama Korea Selatan-Indonesia dalam projek karbon biru.

Seminar itu menjadi forum bagi kumpulan pakar bidang karbon biru itu membincangkan idea-idea yang akan menjadi asas untuk merancang projek karbon biru di Indonesia di bawah skim Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA).

Projek ODA akan menjadi platform untuk melaksanakan pelan tindakan sebenar bagi menangani masalah perubahan iklim, selain mengukuhkan lagi kerjasama Korea Selatan-Indonesia dalam sektor maritim.

Seminar itu diadakan oleh Pusat Penyelidikan Kerjasama Teknologi Marin Korea-Indonesia (MTRCC), Universiti Kebangsaan Seoul dan Universiti Kebangsaan Kunsan bagi pihak Kementerian Lautan dan Perikanan Korea Selatan.

MTRCC merupakan pusat penyelidikan bersama antara kerajaan Korea Selatan-Indonesia dalam bidang sains dan teknologi marin.

Di MTRCC, Indonesia diwakili oleh Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan dan Institut Teknologi Bandung (ITB).

Potensi karbon biru di Indonesia adalah sangat besar iaitu mencecah 3.4 giga tan (GT) atau sekitar 17 peratus daripada karbon biru dunia.

Justeru, pembangunan ekosistem karbon biru, sokongan teknikal dan kapasiti di kawasan lautan dan pesisir pantai adalah penting untuk mengendalikan sumber alam secara mampan.

Penubuhan MTRCC bertujuan mengukuhkan dan menggalakkan kerjasama praktikal dalam bidang sains dan teknologi marin antara kedua-dua negara.

Terdahulu, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam karbon biru yang akan direalisasikan dengan projek ODA yang dijangka bermula pada 2024. 

Keputusan itu dibuat berdasarkan hasil mesyuarat dua hala antara Kementerian Lautan dan Perikanan Korea Selatan serta Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia yang diadakan pada 13 Oktober 2021. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN