Pasangan Britain antara 4 terkorban nahas helikopter di Queensland - Utusan Malaysia

Pasangan Britain antara 4 terkorban nahas helikopter di Queensland

KAKITANGAN lapangan terbang mengalihkan serpihan helikopter yang terhempas berhampiran Gold Coast di Queensland semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sepasang suami isteri warga Britain merupakan antara empat yang terkorban dalam insiden pelanggaran udara dua buah helikopter berhampiran kawasan tumpuan pelancong di Australia, semalam.

Menurut Pesuruhjaya Keselamatan Udara, Angus Mitchell, sebuah helikopter membawa pelancong dilaporkan sedang berlepas di ruang udara Gold Coast di Queensland apabila bilah pemutarnya melanggar kokpit helikopter lain yang sedang mendarat.

“Dalam proses pelanggaran itu, bilah pemutar utama dan kotak gear helikopter yang berlepas terpisah daripada pesawat menyebabkannya terhempas secara tragis ke kawasan beting pasir,” katanya kepada pemberita.

Ron dan Diane Hughes masing-masing berumur  65 tahun dan 57 tahun serta Vanessa Tadro, 36, terbunuh bersama juruterbang, Ashley Jenkinson sementara tiga penumpang lain termasuk anak lelaki Tadros berusia 10 tahun berada dalam keadaan kritikal.

Inspektor Polis Queensland Mike Campbell berkata, Jenkinson merupakan seorang juruterbang mahir yang pernah terlibat dalam misi menyelamat semasa bencana banjir Australia baru-baru ini, 

Kesemua enam orang di helikopter kedua yang sedang mendarat itu bagaimanapun terselamat selepas berjaya mendarat di kawasan berhampiran walaupun kokpitnya musnah.

“Empat orang kehilangan nyawa mereka dan ramai orang sedang berkabung, tetapi kami mungkin mengalami situasi yang jauh lebih buruk di sini

“Apa yang kita perlu tahu dan siasat sekarang ialah apa yang berlaku di dalam kedua-dua kokpit ketika itu. Laporan awal kejadian  dijangka akan dapat diperoleh dalam enam hingga lapan minggu,” kata Mitchell.

Polis berkata, pemilik bot tempatan bergegas ke tempat kejadian dan turut memberi bantuan pernafasan kepada mangsa yang terselamat sebelum perkhidmatan kecemasan tiba di lokasi kejadian.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN