Kapal selam jadikan perairan Asia Pasifik sesak - Utusan Malaysia

Kapal selam jadikan perairan Asia Pasifik sesak

ILLUSTRIOUS, salah satu kapal selam kelas Invincible yang dilancarkan oleh Singapura Disember lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kapal selam sering dilihat sebagai aset penting berdepan musuh yang lebih kuat, tetapi aspirasi perkembangan pesat kapal selam di Asia Pasifik memerlukan pengurusan yang lebih mampan kerana dilihat menjadikan perairan serantau semakin sesak dan berbahaya.

Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menilai bahawa perbelanjaan ketenteraan dunia mencecah paras AS$2 trilion (RM8.7 trilion) buat kali pertama pada tahun 2021 dengan dua daripada lima negara teratas berada di Asia Pasifik iaitu China dan India.

Jepun baru-baru ini juga merekodkan peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam perbelanjaan pertahanannya yang dianggarkan berjumlah AS$324 bilion (RM1.4 trilion) sepanjang tahun fiskal 2023 hingga 2027. 

Penilaian sedemikian cenderung untuk menimbulkan kesimpulan bahawa perlumbaan senjata sedang berlaku di Asia, walaupun negara-negara terus bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi global yang disebabkan oleh wabak dan perang di Ukraine.

Lapor Channel News Asia, pada Disember tahun lalu, tentera laut Singapura melancarkan kapal selam kedua dan ketiga daripada empat kapal selam kelas Invincible baharu yang dinamakan Impeccable and Illustrious.

China, Jepun dan Korea Selatan juga dilaporkan sedang meningkatkan keupayaan dasar laut mereka.

Jepun mengembangkan armada kapal selamnya daripada 20 buah pada tahun 2019 kepada 22 pada akhir 2022 dan dalam tempoh yang sama, Korea Selatan meningkatkan armada kapal selamnya daripada 16 buah kepada 19 kini.

Namun bukan sekadar permainan nombor yang dapat diperhatikan malah kuasa laut serantau ini juga telah menggunakan bot yang lebih besar dan lebih senyap dengan keupayaan serangan jarak jauh yang lebih baik.

Pada penghujung 2021, banyak perhatian telah diberikan kepada rancangan Australia untuk kapal selam serangan berkuasa nuklear di bawah perjanjian dengan United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Negara seperti Singapura, Malaysia, Indonesia dan Vietnam juga sudah mempunyai program kapal selam dan ejak beberapa tahun kebelakangan ini, aspiran kapal selam baharu juga telah muncul di Asia Tenggara.

PERLU GARIS PANDUAN YANG LEBIH MAMPAN

Tetapi apa yang mengejutkan ramai ialah apabila Myanmar menugaskan kapal selam terpakai dari India pada tahun 2020 ketika kemuncak wabak Covid-19, dan sebuah lagi pada 2021 dari China.

Walaupun Asia Pasifik membentangkan gambaran mengenai percambahan kapal selam, terdapat sedikit ruang untuk keselesaan memandangkan kawasan laut serantau menjadi semakin sesak.

Selain kapal selam berawak, terdapat juga cabaran yang timbul akibat percambahan kenderaan bawah laut tanpa pemandu yang juga dipanggil dron bawah air kegunaan tentera atau awam.

Garis panduan undang-undang antarabangsa yang sedia ada melibatkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) mempunyai kekurangan dalam mengawal selia penggunaan platform ini, termasuk masalah mengklasifikasikan kapal tanpa pemandu berdasarkan keperluan Artikel 94 .

Kehilangan tragis kapal selam Indonesia KRI Nanggala, pelanggaran antara kapal selam Jepun JS Soryu dan kapal awam di Lautan Pasifik, dan pelanggaran dengan gunung laut yang belum dipetakan di Laut China Selatan merupakan antara insiden yang berlaku di kawasan perairan Asia Pasifik.

Insiden ini menyerlahkan potensi bahaya percambahan kapal selam dan memerlukan langkah pencegahan untuk menghalang risiko tersebut.

Minat berterusan dalam keupayaan dasar laut yang dilihat dalam konteks ketegangan serantau, memerlukan tindakan segera yang lebih besar dalam memikirkan semula kemungkinan pengurusan ruang air dan mekanisme pencegahan gangguan bersama dan bukannya hanya menunggu selepas insiden kapal selam besar berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.