Jeneral Tentera Udara AS arah siasat isu pegawai hidap kanser darah - Utusan Malaysia

Jeneral Tentera Udara AS arah siasat isu pegawai hidap kanser darah

SERAMAI sembilan pegawai tentera yang terlibat mengendalikan peluru berpandu di AS dilaporkan menghidap kanser limfoma bukan hodgkin.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jeneral tertinggi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang bertanggungjawab ke atas peluru berpandu nuklear udara dan darat mengarahkan siasatan rasmi dijalankan terhadap pegawai yang dikesan menghidap kanser darah selepas berkhidmat di Pangkalan Tentera Udara Malmstrom di Montana.

Isu berhubung penyakit itu diketahui umum selepas sekurang-kurangnya sembilan pegawai yang berkhidmat di kubu bawah tanah berhampiran peluru berpandu balistik antara benua Minuteman III didiagnos menghidap kanser limfoma bukan hodgkin dan salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia.

Komando Serangan Global Tentera Udara, Jeneral Thomas A Bussiere yang bertanggungjawab ke atas semua kepala peledak nuklear berkata, beliau telah meminta Sekolah Perubatan Aeroangkasa Tentera Udara AS untuk menjalankan penilaian rasmi ke atas kes kanser yang dilaporkan.

“Kami mengambil serius tanggungjawab untuk melindungi tentera udara serta semua pegawai kami, justeru keselamatan dan kesihatan mereka sentiasa menjadi keutamaan saya.

“Ketika kami terus berusaha melalui proses ini, anggota perkhidmatan dan tanggungan mereka serta bekas anggota perkhidmatan yang mungkin mempunyai kebimbangan atau mempunyai persoalan berhubung isu ini digalakkan untuk memaklumkannya kepada penyedia perkhidmatan kesihatan mereka.

“Kami komited untuk kekal telus semasa proses ini dan kami berjanji untuk mengekalkan dialog terbuka dengan ahli, keluarga mereka dan pihak berkepentingan sepanjang masa,” kata Bussiere. 

Kebimbangan mengenai penyakit kanser yang menyerang anggota tentera yang terlibat mengendalikan senjata nuklear dibangkitkan oleh pegawai Angkatan Angkasa AS dalam taklimat kepada unitnya baru-baru ini.

Menurut Pertubuhan Kanser AS, kanser limfoma bukan hodgkin adalah sejenis barah darah yang menyerang sistem limfa dan menjejaskan 19 daripada setiap 100,000 orang di negara itu.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.