Iran gagalkan tiga serangan dron di bandar Isfahan - Utusan Malaysia

Iran gagalkan tiga serangan dron di bandar Isfahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kementerian Pertahanan Iran berkata, pihaknya telah menggagalkan serangan dron ke atas kemudahan tentera di bandar Isfahan.

Kementerian itu berkata, tiga dron terlibat dalam serangan menyasarkan sebuah kilang pembuatan peluru pada waktu tengah malam Sabtu lalu tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Jelas kementerian itu, sebuah dron telah dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara dan dua lagi dikesan oleh perangkap pertahanan, menyebabkan kerosakan kecil pada sebuah bangunan.

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata, insiden ‘pengecut’ itu adalah cubaan untuk menggugat kestabilan negaranya.

Tegasnya, insiden itu tidak akan memberi kesan kepada tekad dan usaha Iran mengenai kemajuan nuklear secara aman.

Jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Patrick Ryder berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) tidak memainkan peranan dalam serangan itu, tetapi pihaknya enggan membuat spekulasi lanjut.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak berhubung program nuklear Iran dan bekalan senjatanya kepada perang Russia di Ukraine.

Negara itu juga dilanda pergolakan dalaman sejak beberapa bulan lalu, ekoran kematian seorang wanita Kurdish, Mahsa Amini ketika dalam tahanan akibat melanggar kod etika berpakaian.

Wilayah Isfahan merupakan lokasi pangkalan udara yang besar serta beberapa tapak nuklear termasuk Natanz yang merupakan pusat program pengayaan uranium Iran.

Dalam kejadian berasingan pada hari Sabtu, agensi berita IRNA melaporkan, kebakaran berlaku di kemudahan minyak berhampiran bandar barat laut Tabriz namun tiada butiran mengenai punca kejadian didedahkan.

Sejak beberapa tahun lalu, terdapat beberapa letupan, kebakaran dan serangan siber ke atas kemudahan tentera, nuklear dan perindustrian Iran.

Selepas Iran menuduh Israel mensabotaj kemudahan nuklear utama berhampiran bandar Natanz pada 2021, ketua pertahanan Israel berkata, operasi negara di rantau itu tidak lagi dapat disembunyikan daripada mata musuh.

Pada tahun 2020, Iran mendakwa Israel menjadi dalang di sebalik pembunuhan salah seorang saintis nuklear terkemukanya, Mohsen Fakhrizadeh.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya