Indonesia siap siaga Pemilu 2024 - Utusan Malaysia

Indonesia siap siaga Pemilu 2024

SUHAJAR DIANTORO - AGENSI   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat pekeliling meminta semua ketua daerah menyokong dan memudahkan urusan pelaksanaan Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia 2024.

Lapor portal Antara, surat pekeliling itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Suhajar Diantoro.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, sokongan sedemikian termaktub dalam Perkara 434 Undang-Undang Nombor 7 Tahun 2017 mengenai pilihan raya umum.

Ia juga selaras dengan surat pekeliling dikeluarkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung menyokong kerajaan pusat dan negeri dalam menubuhkan badan ad hoc untuk pelaksanaan Pemilu 2024.

Dalam surat pekeliling itu, Suhajar menekankan beberapa sokongan yang perlu diberikan oleh kerajaan tempatan antaranya menyediakan kemudahan bagi jawatankuasa pilihan raya daerah kecil (PPK) dan jawatankuasa pengundian (PPS). 

Kerajaan tempatan juga dikehendaki menempatkan kakitangan untuk membantu penubuhan urus setia PPK dan PPS.

Selaras dengan undang-undang, urus setia PPK perlu ditubuhkan selewat-lewatnya pada 10 Januari ini manakala bagi PPS pula harus dibentuk pada 24 Januari depan.

Selain itu, ketua daerah juga diminta memberi kebenaran kepada penjawat awam untuk mendaftar PPK, PPS, kumpulan penganjur pengundian (KPPS) dan jawatankuasa pendaftaran pengundi (Pantarlih) sekiranya tiada pendaftar dari orang ramai yang memenuhi syarat.

Kerajaan tempatan turut diminta untuk menempatkan unit keselamatan komuniti (Satlinmas) untuk menjaga keselamatan semasa pelaksanaan Pemilu 2024. 

Sementara itu, kerajaan tempatan juga diminta menyokong saringan kesihatan dan pengeluaran sijil kesihatan fizikal dan mental di pusat kesihatan milik kerajaan bagi memenuhi syarat pentadbiran untuk mendaftar sebagai ahli badan ad hoc.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.