Warga asing tidak perlu takut melancong ke Bali - Utusan Malaysia

Warga asing tidak perlu takut melancong ke Bali

HOTEL di Bali tidak akan mewajibkan pelancong yang bercuti di pulau itu untuk mengemukakan sijil nikah mereka.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ketua Badan Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun menegaskan, warga asing tidak seharusnya dihalang daripada melawat pulau itu selepas Parlimen Indonesia meluluskan Rang Undang-Undang yang menjenayahkan seks luar nikah  serta bersekedudukan.

Di bawah kanun jenayah baharu yang diluluskan Selasa lalu, individu yang melakukan hubungan seks di luar nikah atau bersekedudukan boleh dilaporkan kepada polis.

Bagaimanapun, perkara tersebut hanya boleh dilaporkan oleh ibu bapa, pasangan atau anak mereka.

Menerusi undang-undang yang akan berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun itu, mereka yang melakukan seks luar nikah bakal berdepan hukuman sehingga satu tahun penjara atau denda 10 juta rupiah (RM2,821).

Bagi yang ditahan kerana bersekedudukan pula, hukuman penjara enam bulan atau denda dengan jumlah sama bakal dikenakan.

Rang undang-undang itu menimbulkan kebimbangan bahawa warga asing akan dihalang daripada melawat  Indonesia, termasuk ke pulau peranginan Bali.

Dalam temu bual dengan portal Channel News Asia, Tjokorda memberi jaminan pelancong tidak perlu risau dengan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

“Jangan risau kerana berdasarkan perbincangan kami dengan pelbagai persatuan hotel dan pelancongan, hotel tidak akan meminta status perkahwinan atau sebarang dokumentasi berkaitan.

“Apabila pelancong tiba di hotel, mereka datang untuk beriadah. Mereka akan dilayan seperti sekarang tanpa diperiksa status perkahwinan mereka,” jelasnya.

Ketua Persatuan Agensi Pelancongan Bali, Putu Winastra berkata, tidak akan wujud kekecohan seperti itu.

“Orang ramai yang datang ke Bali akan tetap berasa selesa kerana hotel akan memastikan privasi mereka. Jika mereka tiba bersama rakan kongsi mereka, pihak hotel akan memberi mereka bilik.

“Saya pasti pihak hotel tidak akan meminta sijil nikah anda. Sama ada anda sudah berkahwin atau tidak, mereka tidak akan bertanya kepada anda kerana ia adalah perkara peribadi.

“Saya telah bercakap dengan persatuan pengurus besar hotel, mereka akan merahsiakan status perkahwinan pelancong,” ujarnya.

Terdapat kebimbangan kanun jenayah baharu itu boleh menjejaskan ekonomi Indonesia yang baru pulih daripada pandemik Covid-19.

Pengembara dari Australia merupakan kumpulan terbesar pelancong asing ke Bali, dengan kira-kira sejuta daripada mereka melawat pulau berkenaan setiap tahun sebelum pandemik Covid-19.

Rabu lalu, kerajaan Australia berkata, pihaknya sedang mencari maklumat lanjut mengenai undang-undang baharu itu kerana khuatir pelaksanaannya bakal memberi kesan kepada rakyatnya di Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN