Tentera Serbia, Kosovo sedia bertempur pada bila-bila masa - Utusan Malaysia

Tentera Serbia, Kosovo sedia bertempur pada bila-bila masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRISTINA: Serbia mula meletakkan tentera keselamatannya di sempadan dengan Kosovo dalam ‘keadaan siap siaga penuh untuk bertempur’ dan tindakan sama turut dilakukan oleh tentera Kosovo.

Kedua-dua negara meneruskan persiapan tempur tanpa menghiraukan gesaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang cuba meredakan ketegangan antara dua musuh ketat semasa perang Balkan itu.

Menteri Dalam Negeri Serbia, Bratislav Gasic, berkata beliau mengarahkan polis dan unit keselamatan lain berada pada tahap ‘siap sedia tempur penuh’ dengan meletakkan mereka di bawah perintah ketua kakitangan tentera mengikut ‘pelan operasi mereka’.

Bagaimanapun, tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan arahan itu di lapangan kerana tentera Serbia sudah pun berjaga-jaga di sempadan dengan Kosovo.

Menurut pegawai, terdapat dakwaan gangguan terhadap etnik Serbia di Kosovo dilakukan oleh etnik Albania, yang juga majoriti penduduk di wilayah yang terpisah itu sejak kemerdekaan pada 2008.

Semalam, pasukan pengaman diketuai NATO berkata mereka sedang menyiasat kes tembakan di wilayah utara Kosovo yang kini tegang, menggesa ketenangan ketika pegawai tertinggi tentera Serbia memeriksa tentera mereka di sempadan bagi menonjolkan kesediaan tempur.

Pertembungan pada petang Ahad itu berlaku di Zubin Potok, sebuah bandar di mana etnik tempatan Serbia mengawal sekatan jalan raya sejak dua minggu lalu ketika ketegangan semakin memuncak.

Pasukan pengaman yang dikenali sebagai KFOR berkata, pertempuran itu berlaku berhampiran salah satu kawasan rondaan mereka, membabitkan orang tidak dikenali.

Dalam satu kenyataan, pihaknya berkata tiada sesiapa yang cedera dan mereka sedang berusaha untuk membuktikan semua fakta.

“Menteri pertahanan Serbia dan ketua kakitangan tentera pergi ke sempadan dengan Kosovo, memuji kesediaan tempur tentera Serbia dan senjata api mereka, termasuk howitzer dan perkakasan tentera yang lain.

Serbia, yang memperoleh senjata melalui derma Russia dan pembelian ketenteraan, menyerang serta mengancam pasukan tentera di bekas wilayah yang dikuasainya sejak sekian lama.

Kebimbangan terhadap keganasan semakin meningkat sejak permulaan perang Russia di Ukraine.

Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf kemerdekaan Kosovo, manakala Serbia bergantung kepada Russia dan China dalam usahanya untuk mengekalkan tuntutan ke atas wilayah itu. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya