Taliban pertahan larangan masuk universiti kepada wanita

Taliban pertahan larangan masuk universiti kepada wanita

KUMPULAN pelajar wanita dihalang memasuki Universiti Kabul oleh pengawal keselamatan Taliban. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Kementerian Pendidikan Tinggi kerajaan Taliban mempertahankan keputusan untuk melarang pelajar wanita daripada melanjutkan pengajian mereka di peringkat universiti.

Biarpun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak di seluruh dunia, menterinya, Nida Mohammad Nadim menegaskan, larangan itu adalah wajar untuk mengelakkan percampuran jantina di universiti, selain larangan itu sebagai ‘hukuman’ kepada pelajar wanita kerana mereka tidak mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan.

Menerusi wawancara dengan stesen penyiaran Afghanistan, Nida menolak semua kecaman komuniti antarabangsa, termasuk daripada negara Islam.

Beliau menegaskan, negara asing perlu berhenti mencampuri urusan hal ehwal dalaman Afghanistan.

Nida juga tidak menolak kemungkinan larangan itu akan ditarik balik dan golongan pelajar wanita boleh meneruskan pengajian mereka seperti biasa.

Taliban sebelum ini berjanji untuk melaksanakan sistem pentadbiran yang lebih terbuka ketika menguasai semula kerajaan negara ini pada Ogos tahun lalu.

Namun, semua yang dijanjikan oleh Taliban dilihat tidak dilaksanakan apabila kanak-kanak perempuan dan kaum wanita terus menjadi mangsa diskriminasi sehingga hak kehidupan harian mereka dirampas.

Selain tidak boleh pergi ke sekolah, universiti dan tempat kerja, golongan wanita di negara ini juga diwajibkan memakai burqa.

Antara negara Islam yang lantang mengkritik larangan Taliban itu termasuk Turkiye, menerusi menteri luarnya, Mevlut Cavusoglu, tindakan tersebut disifatkan sebagai ‘bukan Islam atau pun hak kemanusiaan’.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pelajar dan pensyarah dari Universiti Kabul melakukan protes membantah larangan tersebut.

Protes tersebut disertai sebahagian besar pelajar wanita dan terdapat juga pelajar lelaki, namun mereka dibenarkan memasuki universiti, manakala pelajar wanita ditahan di luar.

Kebanyakan pelajar wanita berharap larangan itu ditarik balik kerana universiti merupakan harapan mereka untuk mendapatkan masa depan yang lebih baik.

“Sudahlah sekolah tidak dibenarkan, universiti pun tidak boleh juga, jadi, bagaimana dengan nasib kami?,” soal seorang pelajar wanita yang dikenali sebagai Karishma Nazari. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya