Russia haramkan penjualan minyak mentah, produk minyak - Utusan Malaysia

Russia haramkan penjualan minyak mentah, produk minyak

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia mengumumkan akan mengharamkan penjualan minyak ke negara-negara yang mematuhi had harga yang dikenakan oleh Barat awal bulan ini. 

Respon tersebut sudah dijangka berikutan langkah paling dramatik yang diambil Barat setakat ini untuk mengehadkan keupayaan Moscow meningkatkan dana peperangannya di Ukraine.

Di bawah had harga yang berkuat kuasa pada 5 Disember lalu, peniaga minyak mesti berjanji untuk tidak membayar melebihi AS$60 (RM265) setong bagi minyak bawaan laut Russia untuk mengekalkan akses kepada pembiayaan Barat bagi aspek penting perkapalan global terutama insurans.

Had itu ditetapkan hampir dengan harga semasa untuk minyak Russia, tetapi jauh lebih rendah berbanding harga yang mampu dijual Russia tahun lalu, apabila keuntungan besar diterima mereka ketika itu membantu Moscow mengimbangi kesan sekatan kewangan yang telah dilaksanakan.

Russia merupakan pengeksport minyak kedua terbesar dunia selepas Arab Saudi, dan sebarang gangguan terhadap jualannya akan membawa kesan yang meluas terhadap bekalan tenaga global.

Dekri daripada Presiden, Vladimir Putin yang diterbitkan di portal kerajaan dan laman web Kremlin, dibentangkan sebagai tindak balas terhadap Amerika Syarikat (AS) dan negara asing serta organisasi antarabangsa lain berikutan penetapan had harga yang disifatkan ‘tidak mesra’ dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa itu.

Larangan Kremlin akan menghentikan penjualan minyak mentah kepada negara yang mengambil bahagian dalam had harga dari 1 Februari hingga 1 Julai tahun depan.

“Penghantaran minyak dan produk minyak Russia kepada entiti dan individu asing adalah diharamkan, dengan syarat bahawa dalam kontrak untuk mendapat bekalan ini, penggunaan mekanisme penetapan harga maksimum dijangka secara langsung atau tidak langsung.

“Larangan yang ditetapkan terpakai untuk semua peringkat bekalan sehingga pembeli akhir,” jelas perintah itu, merujuk secara khusus kepada AS dan negara asing lain yang sudah mengenakan had harga.

Larangan berasingan ke atas produk minyak ditapis seperti petrol dan diesel akan berkuat kuasa pada tarikh yang bakal ditetapkan oleh kerajaan namun Putin mempunyai kuasa untuk menolak langkah-langkah berkenaan dalam kes-kes khas.

Tindakan mengenakan had harga tidak pernah berlaku sebelum ini meskipun pada zaman Perang Dingin antara Barat dan Kesatuan Soviet.

Namun tindakan itu dilakukan bertujuan untuk melumpuhkan tabung negara Russia dan usaha ketenteraan Moscow di Ukraine selain benar-benar menyekat bekalan Russia tanpa mengganggu pasaran global.

Had harga halang fiskal tambahan

Menurut Menteri Kewangan, Anton Siluanov, defisit bajet Russia mungkin lebih luas daripada dua peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dirancang tahun depan kerana had harga minyak menekan pendapatan eksport Russia selain mencetus halangan fiskal tambahan kerana negara itu sudah berbelanja besar untuk kempen ketenteraannya di Ukraine.

Beberapa penganalisis berkata, had itu hanya memberi sedikit kesan serta-merta ke atas hasil minyak yang diperoleh Moscow kerana harga minyak Russia sudah jatuh ke tahap hampir sama. 

Tetapi usaha itu mampu mengehadkan keupayaan Moscow untuk meraih keuntungan besar daripada kejutan harga di masa hadapan.

Had harga negara G7 membenarkan negara bukan Kesatuan Eropah (EU) untuk terus mengimport minyak mentah Russia, tetapi mereka akan melarang syarikat perkapalan, syarikat insurans daripada mengendalikan kargo minyak mentah Russia di seluruh dunia, melainkan ia dijual kurang daripada had harga.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya