CUSCO: Presiden Peru, Dina Boluarte menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan walaupun berdepan protes ganas rakyatnya namun tetap menggesa penggubal undang-undang untuk mempercepatkan pilihan raya bagi meredakan ketegangan yang kian memuncak di negara ini.
Kongres menolak tawaran untuk mengadakan pengundian pada Disember depan, dua tahun lebih awal daripada yang dijadualkan, ketika protes menyebabkan beribu-ribu pelancong terkandas berhampiran Machu Picchu.
Penunjuk perasaan yang berang dan beberapa penggubal undang-undang menggesa Boluarte berundur tetapi dalam ucapan yang bertujuan untuk meredakan pergolakan yang menggegarkan negara Amerika Selatan itu, Presiden baharu itu tetap tegas dengan pendiriannya.
“Apakah yang dapat diselesaikan dengan peletakan jawatan saya? Kami akan berada di sini dengan teguh sehingga Kongres memutuskan untuk menyegerakan pilihan raya,” kata Boluarte kepada rakyat Peru.
Jumaat lalu, Speaker Dewan Rakyat, Jose Williams berkata, undian pada jadual pilihan raya boleh disemak semula semasa sesi Kongres yang akan datang.
Peru berdepan krisis politik sejak 7 Disember lalu apabila bekas Presiden, Pedro Castillo didakwa dan ditahan selepas cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri.
Pergolakan semakin memuncak di beberapa bandar dan wilayah, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terkorban termasuk kanak-kanak.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Boluarte menyatakan kekesalan terhadap protes dan kematian dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan termasuk tentera yang telah diberi kuasa untuk mengenakan perintah di bawah keadaan darurat.
“Jika tentera bersenjata berada di jalanan, ia adalah untuk menjaga dan melindungi rakyat Peru. Protes ini jelas dipengaruhi unsur-unsur ganas yang sengaja diadakan dan tidak spontan.
“Kumpulan ini tidak muncul dalam sekelip mata. Mereka telah mengatur secara taktikal untuk menyekat jalan raya,” katanya.
Penunjuk perasaan menyeru pembebasan Castillo, peletakan jawatan Boluarte dan penutupan Kongres selain pilihan raya umum segera.
Menteri Kesihatan, Rosa Gutierrez berkata seramai 18 orang terbunuh dalam pertempuran sejak penahanan Castillo dan dua menteri kabinet telah meletak jawatan kerana insiden itu.-REUTERS