Pengawal bersenjata kawal pintu masuk universiti Afghanistan - Utusan Malaysia

Pengawal bersenjata kawal pintu masuk universiti Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Ratusan penuntut wanita dihalang oleh pengawal bersenjata ketika mereka mahu memasuki kampus universiti di Afghanistan, semalam.

Tindakan itu dilakukan selepas pemerintah kerajaan Afghanistan, Taliban, melarang wanita daripada mengikuti pengajian di peringkat tinggi.

Tinjauan wartawan mendapati, kumpulan pelajar wanita berkumpul di luar universiti di ibu negara Kabul kerana pintu pagar ditutup.

Penuntut, Wajiha Kazimi, 19, berkata sekatan itu menunjukkan Taliban takut dengan kemajuan wanita.

Penuntut Kesusasteraan Jerman di Universiti Kabul, Setara Farahmand, pula menyifatkan penindasan pihak berkuasa Taliban itu mengetepikan hak wanita.

“Mereka hanya mahu wanita duduk di rumah dan melahirkan anak,” katanya.

Dalam pada itu, penuntut lelaki turut tidak berpuas hati dengan sekatan baharu itu hingga menyaksikan beberapa orang di bandar timur Jalalabad memboikot peperiksaan mereka sebagai protes.

“Sekatan ini benar-benar menunjukkan taraf pengetahuan Islam dan hak asasi manusia mereka rendah,” kata seorang penuntut universiti lelaki yang enggan namanya disiarkan.

Pada masa sama, sekurang-kurangnya dua pensyarah lelaki di Universiti Kabul mengumumkan peletakan jawatan sebagai protes.

Keputusan menyekat wanita mengikuti pengajian di universiti diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Neda Mohammad Nadeem, pada petang Selasa lalu.

Sehari selepas itu, menteri luar dari pelbagai kerajaan termasuk anggota Kumpulan Tujuh (G7), Belanda, Norway, Sepanyol, Switzerland dan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran langkah itu akan menjejaskan hubungan mereka dengan Taliban.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata, larangan itu serius menjejaskan kredibiliti kerajaan.

Pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada dan ulamanya menentang pendidikan moden terutama untuk kanak-kanak perempuan dan wanita.

Mac lalu, kebanyakan remaja perempuan di seluruh negara diharamkan bersekolah menengah, sekali gus mengehadkan kemasukan mereka ke universiti.

Sejak larangan itu, ramai gadis remaja berkahwin awal biasanya dengan lelaki lebih berusia yang dipilih bapa mereka.

November lalu, wanita juga dilarang ke taman, pameran, gimnasium dan kolam renang awam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya