Mata wang Iran jatuh ke paras terendah - Utusan Malaysia

Mata wang Iran jatuh ke paras terendah

MATA wang Iran jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS pada Sabtu lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Gabenor bank pusat Iran menyalahkan pergolakan anti-kerajaan di negara ini sebagai antara punca utama kejatuhan mata wang Iran ke paras terendah kini.

Gabenor Bank Pusat, Ali Salehabadi mengakui protes berterusan dan sekatan dari Amerika Syarikat (AS) menyumbang kepada kejatuhan rekod mata wang Iran, tetapi mencadangkan dolar boleh disuntik ke dalam pasaran untuk menyokong riyal yang bermasalah.

“Untuk membuat pelarasan dalam pasaran tukaran asing, kami akan bertindak sebagai pencipta pasaran dan sebagai pembuat dasar mata wang tegar. Mana-mana mata wang yang lebih mendapat permintaan, kami akan menawarkannya dalam pasaran,” jelas Ali.

Mata wang Iran yang bermasalah jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS pada Sabtu lalu apabila rakyat Iran yang terdesak mencari tempat selamat untuk simpanan mereka cuba membeli dolar, mata wang lain dan emas.

Riyal kehilangan hampir 20 peratus daripada nilainya sejak protes di seluruh negara meletus tiga bulan lalu.

Pergolakan yang menimbulkan salah satu cabaran terbesar kepada pemerintah Iran sejak Revolusi Islam 1979, turut menyaksikan kumpulan pekerja minyak mengadakan protes Sabtu lalu menuntut gaji yang lebih tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Iran menahan pelakon terkenal, Taraneh Alidoosti yang memenangi Anugerah Akademi untuk filem bahasa asing terbaik pada 2016, selepas menyuarakan sokongan terhadap protes dan menyiarkan foto dirinya tanpa tudung kepala dengan slogan ‘wanita, kehidupan, kebebasan’.

“Taraneh tidak memberikan dokumen yang menyokong beberapa tuntutannya, ditangkap beberapa jam lalu atas perintah pihak berkuasa kehakiman,” lapor agensi berita rasmi IRNA memetik kenyataan badan kehakiman.

Kenyataan itu berkata, beberapa selebriti telah dipanggil kerana komen yang tidak berasas mengenai peristiwa baru-baru ini dan menerbitkan bahan provokatif untuk menyokong rusuhan oleh rakyat Iran.

Taraneh merupakan salah seorang daripada puluhan artis, wartawan dan peguam yang ditahan sejak tiga bulan lalu kerana bersuara menentang tindakan tegas ke atas penunjuk perasaan dan sebahagian daripada mereka dilaporkan sudah dibebaskan dengan jaminan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya