AUSTIN: Seorang lelaki dari Texas, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan memiliki koleksi permainan video terbanyak di dunia yang dianggarkan bernilai AS$2.1 juta (RM9.25 juta).
Lapor Daily Mail, Antonio Romero Monteiro, 45, memiliki sebanyak 24,268 permainan video, sekali gus berjaya mencipta satu lagi Rekod Dunia Guinness bagi koleksi permainan video paling banyak.
Sebelum ini, Monteiro pernah dinobatkan sebagai pemilik koleksi permainan video terbesar dunia pada 2019 selepas mempunyai sebanyak 20,193 permainan dalam simpanannya.
Monteiro kini memegang lima Rekod Dunia Guinness masing-masing bagi koleksi permainan Xbox, Sega, Nintendo, PlayStation dan permainan video secara keseluruhan yang paling banyak.
Peminat tegar permainan video itu mula bermain dan mengumpul koleksi bernilai jutaan dolar itu ketika hanya berusia 10 tahun.
Sejak membeli permainan video Sega Genesis pertamanya lebih 30 tahun lalu, koleksi dimiliki Monteiro semakin bertambah sehingga memenuhi ruang bilik di rumahnya.
Kesemua permainan video itu disusun secara teratur mengikut abjad.
Malah, koleksi itu turut merangkumi pelbagai jenis permainan dan sejumlah aksesori untuk digunakan bersama konsol permainan video.
Sementara itu, Monteiro berkata, dia tidak akan berhenti mengumpul permainan video sebaliknya merancang untuk menambah lagi koleksi peribadinya itu.
Katanya, ketika ini, dia mempunyai koleksi lengkap daripada konsol permainan Nintendo yang pertama sehingga keluaran permainan video paling terkini.