KYIV: Pihak berkuasa Ukraine berusaha memulihkan bekalan elektrik di hospital, sistem pemanasan dan kemudahan kritikal yang lain di beberapa bandar utama berikutan gelombang serangan baharu Russia menyasarkan grid kuasa negara itu.
Russia melancarkan serangan peluru berpandu semalam menyebabkan beberapa bandar terputus bekalan elektrik, air sehingga memaksa penduduk berdepan suhu sejuk melampau.
Menurut Datuk Bandar Kyiv, hanya satu pertiga penduduk mempunyai bekalan air, haba dan orang ramai membanjiri stesen metro bawah tanah selepas siren amaran serangan udara berbunyi pada waktu pagi.
Syarikat tenaga nasional negara itu, Ukrenergo memaklumkan sistemnya kehilangan lebih separuh kapasiti selepas serangan itu menyasarkan kemudahan rangkaian dan penjanaan kuasa.
Ukrenergo juga memberi amaran kerosakan yang dialami di bahagian utara, selatan dan tengah negara, akan mengambil masa lebih lama untuk memulihkan bekalan berbanding serangan dilancarkan sebelum ini.
“Keutamaan akan diberikan kepada infrastruktur kritikal seperti hospital, kemudahan bekalan air, bekalan haba, loji rawatan kumbahan,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Sementara itu, bekalan elektrik di beberapa kawasan di bandar Kharkiv sudah dipulihkan.
Bekalan elektrik membabitkan lebih separuh kediaman penduduk sudah dipulihkan dan diharap grid kuasa beroperasi sepenuhnya menjelang tengah malam.
Selepas beberapa siri kekalahan di medan perang, Russia melancarkan serangan udara ke atas infrastruktur yang dianggap oleh Moscow sebagai kemudahan berkaitan tentera sejak Oktober lalu.
Bagaimanapun Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) menyifatkan penderitaan dialami oleh penduduk merupakan jenayah perang.
Malah, Ketua Dasar Luar EU, Josep Borell mengecam dan menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai amat kejam.
“Serangan tidak berperikemanusiaan itu bertujuan meningkatkan penderitaan manusia dan menyeksa rakyat Ukraine,” katanya. – AFP