Keluarga mangsa Stadium Kanjuruhan saman pegawai dan Jokowi - Utusan Malaysia

Keluarga mangsa Stadium Kanjuruhan saman pegawai dan Jokowi

PEMINAT bola sepak menghadiri perhimpunan di hadapan balai raya di Malang bulan lalu menuntut siasatan yang adil berikutan insiden rempuhan maut di Stadium Kanjuruhan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tujuh keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam tragedi rempuhan di stadium Kanjuruhan di Malang bertindak menyaman pegawai yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), lapor peguam semalam.

Tuntutan sivil itu menyasarkan lapan pihak, termasuk persatuan bola sepak Indonesia, polis, penganjur PT Liga Indonesia Baru, dan pemilik kelab bola sepak Malang Arema FC sementara Jokowi juga disenaraikan sebagai defendan bersama.

Peguam mewakili keluarga mangsa, Imam Hidayat berkata, mereka menuntut akauntabiliti dan pampasan berjumlah kira-kira 62 bilion rupiah (RM17.25 juta).

“Kami perlu mempertimbangkan kehidupan keluarga mangsa. Mereka, pada pandangan kami, memerlukan pampasan walaupun nyawa tidak boleh ditukar dengan wang,” katanya.

Saman itu difailkan ke mahkamah di Malang pada Rabu lalu dan jurucakap mahkamah mengesahkan dokumen mengenai perkara itu  sudah diterima.

Plaintif juga meminta kerajaan membatalkan rancangan untuk merobohkan stadium Kanjuruhan sebaliknya perlu dijadikan muzium sebagai peringatan tragedi itu.

Jokowi sebelum ini merancang untuk membina semula struktur itu mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Rempuhan itu berlaku selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton yang memasuki padang pada penghujung perlawanan liga antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, menyebabkan 135 orang terkorban termasuk lebih 40 kanak-kanak.

Kerajaan menangguhkan perlawanan bola sepak kompetitif selepas insiden itu tetapi perlawanan liga disambung awal bulan ini tanpa penonton.

Imam yang merupakan sebahagian daripada pasukan advokasi bagi mereka yang terjejas akibat tragedi itu turut menghantar surat kepada Jokowi menuntut penubuhan pasukan penyiasat bebas daripada polis bagi memastikan siasatan yang telus dan objektif.

Selepas siasatan yang diketuai polis, enam individu termasuk tiga pegawai polis didakwa kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.

Rabu lalu, polis membebaskan seorang suspek iaitu bekas pengarah PT Liga Indonesia Baru selepas ditahan untuk tempoh maksimum tanpa pertuduhan namun dilaporkan kekal sebagai suspek.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya