KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menegaskan dunia tetap mendengar gesaan keamanannya walaupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum itu enggan menayangkan satu mesej video menjelang perlawanan akhir Piala Dunia, malam tadi.
Zelenskiy sebelum ini meminta video itu disiarkan, termasuk gesaannya supaya dilaksanakan persidangan keamanan global bagi menyelesaikan perang yang dicetuskan oleh pencerobohan Russia di Ukraine.
Menurut Presiden Ukraine itu, pemain bola sepak Ukraine dan pegawai lain sudah menyebarkan mesej berkenaan kepada umum.
“Walaupun FIFA menyekat mesej ini daripada disiarkan di stadium sebelum perlawanan akhir di Qatar, dunia masih mendengar rayuan kami,” katanya.
Tegasnya, Piala Dunia menonjolkan semangat berusaha untuk menang.
“Namun, pertandingan ini berlaku di padang bola, buka medan tempur. Perkara terburuk yang boleh berlaku adalah layangan kad merah, bukan butang merah,” katanya, memberi bayangan mengenai kemungkinan serangan nuklear.
Jumaat lalu, CNN melaporkan Zelenskiy memohon FIFA menyiarkan mesej keamanan itu sebelum perlawanan akhir, dengan menyifatkannya sebagai tawaran formula keamanan untuk dunia yang bersifat adil.
Namun, FIFA menolak menyiarkan sebarang mesej politik dalam sebarang perlawanan Piala Dunia.
Pembantu Presiden Russia, Mykhailo Podolyak, menerusi Twitter menyifatkan keengganan FIFA menunjukkan badan bola sepak itu ‘kurang faham bencana yang dicetus Russia kepada dunia dengan memulakan perang di Ukraine.’
Agensi berita Russia melaporkan pemimpin Kremlin, Vladimir Putin menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Argentina, Alberto Fernandez atas kemenangan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Lusail, Doha. – REUTERS