LONDON: Langkah Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan negara ini menanggung tambahan kos makanan pengguna hampir enam bilion pound (RM32 bilion).
Keadaan itu menjejaskan golongan miskin, selain meningkatkan kadar inflasi di negara ini.
Kajian yang dilakukan Sekolah Ekonomi London (LSE), Brexit menyaksikan bil makanan isi rumah meningkat secara purata 210 pound (RM1,128) dalam tempoh dua tahun menjelang penghujung 2021.
Dalam laporannya, LSE menyatakan harga makanan menjadi lebih tinggi berikutan kenaikan kos pemeriksaan dan keperluan dalam sektor import EU.
LSE menilai Brexit mula meningkatkan kos makanan sejak akhir 2019, menyaksikan harga barangan meningkat sehingga enam peratus dalam tempoh dua tahun.
Kenaikan mendadak itu menjejaskan golongan miskin kerana mereka membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka terhadap makanan berbanding orang kaya.
‘Brexit menyebabkan banyak syarikat ‘mengalihkan’ kos tanggungan mereka kepada pengguna dan pengguna yang merasai kesannya,” kata pengarang bersama kajian LSE, Richard Davies.
Britain sebelum ini sudah pun dicengkam krisis kos sara hidup apabila inflasi melonjak ke tahap tertinggi, menyebabkan pelbagai pihak merancang mahu mengadakan mogok bagi menuntut kenaikan gaji.
Harga pengguna juga dipengaruhi perang Russia di Ukraine dan peningkatan permintaan selepas pandemik Covid-19 mulai reda. – AFP