AS mahu uji sampel air kumbahan pesawat China bagi kesan varian baharu Covid-19 - Utusan Malaysia

AS mahu uji sampel air kumbahan pesawat China bagi kesan varian baharu Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO/NEW YORK: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan untuk mengambil sampel air kumbahan dari pesawat antarabangsa China bagi mengesan kemunculan varian baharu susulan peningkatan jangkitan kes Covid-19 di negara itu.

Menurut tiga pakar penyakit berjangkit kepada Reuters, dasar sedemikian berupaya menawarkan penyelesaian lebih baik untuk menjejaki virus itu sekali gus memperlahankan kemasukannya ke AS.

Ia dikatakan lebih berkesan berbanding sekatan perjalanan diumumkan AS minggu ini, yang turut dilaksanakan negara lain iaitu mewajibkan keputusan ujian saringan negatif bagi pengembara dari China.

Pakar penyakit berjangkit di Universiti Minnesota, Dr. Michael Osterholm, berkata sekatan perjalanan seperti mewajibkan ujian saringan Covid-19 setakat ini gagal mengekang penyebaran wabak itu dengan ia dilihat sebagai alat politik.

“Ia kelihatan penting dari sudut politik. Saya fikir setiap kerajaan merasakan mereka akan dituduh tidak melakukan yang secukupnya untuk melindungi rakyat jika tidak melaksanakan tindakan sedemikian,” katanya.

Minggu ini, AS turut memperluaskan program sukarela iaitu penjujukan genom di lapangan terbang dengan menambah beberapa lokasi termasuk Seattle dan Los Angeles.

Secara keseluruhan, sebanyak tujuh lapangan terbang mengumpul maklumat untuk program berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan pakar berkata, ia mungkin tidak berupaya memberikan saiz sampel yang berkesan.

Pakar genomik dan Pengarah Institut Terjemahan Penyelidikan Scripps di La Jolla, California, Dr. Eric Topol, berkata penyelesaian yang lebih baik ialah menguji air kumbahan daripada syarikat penerbangan.

Ia berupaya memberikan gambaran lebih jelas bagaimana virus itu bermutasi berikutan kekurangan data yang telus dari China.

Topol berkata, kaedah menguji air kumbahan dari pesawat China adalah taktik yang sangat baik.

Katanya, AS wajar meningkatkan kaedah pengawasannya kerana China tidak mahu berkongsi data genomiknya.

Dalam pada itu, jurucakap CDC, Kristen Nordlund dalam emelnya berkata, analisis air kumbahan kapal terbang adalah antara beberapa pilihan yang dipertimbangkan oleh agensi itu dalam usaha memperlahankan kemunculan varian baharu ke AS dari negara lain.

Agensi itu bergelut terutamanya berhubung ketelusan data Covid-19 dikeluarkan China selepas negara berkenaan secara tiba-tiba menarik balik perintah berkurung dan dasar ujian saringan yang ketat. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.