JAKARTA: Anak bongsu Presiden Indonesia, Kaesang Paangarep selamat diijab kabul bersama pasangannya, Erina Gudono di hotel Royal Ambarrukmo di Yogyakarta pagi tadi.
Sebelum dinikahkan, Kaesang kelihatan agak gugup dan menarik nafas panjang ketika menunggu ketibaan pengantin perempuan.
Kaesang dinikahkan oleh abang sulung isterinya, Allen Adam Gudono dan selamat bergelar suami dengan sekali lafaz.
Kaesang memberikan mas kahwin berupa wang tunai sebanyak 300,000 rupiah (RM84); empat jongkong emas seberat 10, 12, 20, 22 gram; dan satu set kelengkapan solat.
Anak bongsu Presiden, Joko Widodo (Jokowi) itu juga jelas terlihat menghela nafas lega sambil mengucap syukur selepas selesai diijab kabul.
Keluarga Jokowi juga akan mengadakan majlis perarakan di Solo yang akan disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen nasional, termasuk CNN Indonesia TV.