LONDON: Seorang wartawan saluran berita BBC di China ditangkap dan dipukul oleh polis semasa membuat liputan bantahan terhadap dasar sifar-Covid di negara itu.
Beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya di bandar-bandar utama China dalam protes terbaharu yang jarang berlaku di nnegara itu.
“BBC amat prihatin terhadap layanan wartawan kami, Ed Lawrence yang ditangkap dan digari ketika membuat liputan mengenai protes di Shanghai,” kata penyiar itu dalam satu kenyataan.
Menurut BBC, Lawrence, bekerja di negara itu sebagai wartawan bertauliah ditahan dan telah dipukul serta ditendang oleh polis sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.
“Amat membimbangkan apabila salah seorang wartawan kami diserang dengan cara ini semasa menjalankan tugasnya.
“Kami tidak mendapat penjelasan rasmi atau permohonan maaf daripada pihak berkuasa China, selain dakwaan oleh pegawai yang membebaskannya bahawa mereka menangkapnya untuk kebaikannya andai dia dijangkiti Covid-19 daripada orang ramai.
“Kami tidak menganggap ini penjelasan yang boleh dipercayai,” jelas kenyataan itu.-AFP