UK berdepan kemelesetan ekonomi pertama dalam tempoh 14 tahun - Utusan Malaysia

UK berdepan kemelesetan ekonomi pertama dalam tempoh 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Menteri Kewangan Britain, Jeremy Hunt mengumumkan United Kingdom (UK) kini berdepan dengan kemelesetan ekonomi yang dijangka berlarutan dalam tempoh yang agak panjang.

Kali terakhir UK mengalami kemelesetan ekonomi adalah ketika krisis kewangan pada 2008 yang turut menjejaskan ekonomi global.

Hunt membuat pengisytiharan tersebut dalam ucapan kewangannya selama satu jam dipanggil Penyata Musim Luruh sekaligus menimbulkan kebimbangan kepada penggubal undang-undang yang berkumpul di Dewan Rakyat semalam.

Keadaan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh perang di Ukraine dan gangguan rantaian bekalan yang berlarutan akibat pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Lizz Truss dan ahli ekonomi tertingginya turut dikatakan menjadi punca kerana rancangannya untuk mengurangkan cukai menyebabkan gelombang kejutan dalam pasaran kewangan.

Ketika Hunt berucap, nilai saham UK jatuh ke titik terendah hari ini, tetapi memulihkan kerugian untuk ditutup rata menjelang akhir dagangan di London.

Pound Britain, bagaimanapun, jatuh kira-kira satu peratus untuk didagangkan pada 1.17 kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Kejatuhan itu berlaku walaupun kerajaan telah mengeluarkan rancangannya sebelum ucapan Hunt di televisyen, dengan harapan berita itu tidak akan menakutkan pelabur.

Hunt berkata, kerajaan akan mengekalkan had harga tenaga yang diperkenalkan oleh Truss, tetapi akan menaikkan sedikit had itu mulai April depan.

Syarikat minyak dan gas juga akan dipaksa membayar cukai yang lebih tinggi yang dikenali sebagai cukai durian runtuh ke atas keuntungan mereka yang melonjak berikutan kenaikan harga minyak dan gas sehingga 2028.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya