MANILA: Pengawal pantai China secara paksa merampas serpihan roket terapung yang ditunda tentera laut Filipina ke pulaunya dalam satu lagi konfrontasi di Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Menurut sumber ketenteraan, serpihan itu daripada pemacu roket yang dilancarkan ke angkasa lepas oleh China, yang terhempas tanpa kawalan kembali ke bumi.
Menurut Naib Laksamana Alberto Carlos, kapal tentera laut China itu didakwa menyekat bot tentera lautnya sebanyak dua kali sebelum merampas serpihan yang ditunda kapal itu sejak semalam dari Pulau Thitu yang diduduki Filipina.
“Kapal pengawal pantai China menyekat bot bekalan Filipina menghantar bekalan kepada tentera Filipina iaitu perairan yang dipertikaikan, kemudian merampas objek dalam milikan tentera negara lain, suatu tindakan bersifat kurang ajar,” katanya.
Tambah Carlos, kelasi botnya menggunakan kamera jarak jauh di pulau Thitu, mengesan serpihan hanyut dalam ombak kuat berhampiran beting pasir yang terletak sejauh kira-kira 540 meter.
Mereka kemudian menaiki bot dan mengambil objek terapung itu dan mula menariknya kembali ke pulau mereka menggunakan tali yang diikat pada bot.
“Ketika kelasi Filipina bergerak pulang ke pulau milik negara itu, mereka menyedari dihampiri kapal pengawal pantai China dengan haluan nombor 5203 dan kemudian menghalang laluan mereka dua kali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kapal pengawal pantai milik China kemudian mengerahkan kakitangannya merampas objek terapung itu dengan memotong tali penarik yang dipasang pada bot getah pelaut Filipina.
Sementara itu, jurucakap tentera Western Command, Mejar Cherryl Tindog, berkata objek logam terapung itu kelihatan sama dengan beberapa serpihan roket China yang ditemui baru-baru ini di perairan Filipina. – AP