Sekatan Covid-19, penghantaran iPhone14 ke seluruh dunia terjejas

Sekatan Covid-19, penghantaran iPhone14 ke seluruh dunia terjejas

PELANGGAN perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan model terbaharu iPhone ekoran sekatan Covid-19 yang menjejaskan kilang utama di Zhengzhou, China.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Apple memaklumkan penghantaran iPhone 14 Pro dan iPhone Pro Max dijangka mengalami kelewatan akibat sekatan terbaharu bagi mengekang penularan Covid-19 yang menyebabkan gangguan pengeluaran di kemudahan pemasangan di Zhengzhou, China.

Apple dalam satu kenyataan berkata, kemudahan itu kini terpaksa beroperasi dengan kapasiti yang rendah menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lebih lama untuk menerima produk baharu mereka.

Menurut laporan media Oktober lalu, pengeluaran iPhone di satu daripada kilang terbesarnya berkemungkinan merosot lebih 30 peratus berikutan sekatan mengekang penularan wabak di China yang semakin ketat.

Kilang utama Apple di gegarkan dengan rasa tidak puas hati kakitangannya ekoran langkah yang terlalu ketat itu menyebabkan ramai pekerja memilih meninggalkan syarikat itu.

Kesan ke atas pengeluaran berlaku di tengah-tengah kesibukan syarikat elektronik menjelang musim cuti akhir tahun, yang juga merupakan tempoh penting bagi vendor barangan pengguna seperti Apple.

Kilang Foxconn di Zhengzhou, yang menggaji kira-kira 200,000 kakitangan menghasilkan majoriti telefon baharu Apple, termasuk keluaran terbaharu iPhone 14.

Namun penduduk dan pekerja yang tinggal di sekitar 25 kilometer di tenggara Zhengzhou dilarang meninggalkan rumah dan diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19 sekali sehari.

Perkhidmatan pengangkutan awam juga digantung dengan hanya kenderaan yang diluluskan sahaja dibenarkan di jalan raya sementara langkah ketat lain turut dilaksanakan termasuk penutupan pejabat, kedai dan perkhidmatan yang tidak penting.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN