WASHINGTON: Parti Republikan berjaya memperoleh 218 kerusi yang diperlukan untuk memenangi majoriti dalam Kongres, seminggu selepas pilihan raya pertengahan penggal berlangsung di Amerika Syarikat (AS).
Lapor CBS News, walaupun mencatat kemenangan tipis, jumlah kerusi yang berjaya diperoleh di Dewan Perwakilan itu sudah cukup untuk menghalang agenda Presiden AS, Joe Biden dalam tempoh dua tahun akan datang
Namun Parti Demokrat masih mengekalkan kawalan di Dewan Senat apabila Kongres baharu bersidang pada bulan Januari ini sekalipun sebilangan kecil kerusi masih belum ditentukan.
Republikan yang mahu memenangi semula kawalan di kedua-dua Dewan gagal mencapai prestasi baik yang diharapkan dalam pilihan raya tersebut.
Tetapi mereka masih mampu meraih majoriti Kongres apabila penyandang daerah ke-27 di California, Mike Garcia berjaya mengekalkan kerusinya.
Menurut CBS News lagi, Republikan kini disasarkan untuk memenangi antara 218 hingga 223 kerusi di Dewan Perwakilan yang mempertandingkan 435 kerusi itu.
Tetapi dengan undian dalam perlumbaan yang sangat sengit masih dikira, majoriti keputusan hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.
Kevin McCarthy, yang dipilih oleh Republikan sebagai calon untuk menggantikan wakil Demokrat, Nancy Pelosi sebagai Speaker baharu, teruja meraikan kemenangan tersebut menerusi akaun Twitternya semalam.
“Rakyat AS bersedia untuk hala tuju baharu, dan Dewan Republikan bersedia untuk menyampaikannya,” katanya.