Pelancong selamat selepas sehari jadi tebusan orang asli Peru - Utusan Malaysia

Pelancong selamat selepas sehari jadi tebusan orang asli Peru

PELANCONG asing dan warga tempatan menunggu di dalam bot selepas mereka ditahan oleh komuniti orang asli Cuninico di Loreto di utara Peru kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Sekumpulan pelancong termasuk warga Britain dan Amerika Syarikat (AS) dibebaskan selepas seharian dijadikan tebusan oleh kumpulan orang asli di kawasan terpencil di hutan hujan Amazon di Peru.

Lapor Daily Mail, kumpulan pelancong dan rakyat tempatan yang dianggarkan seramai 100 orang itu menaiki bot bersama pengembara dari Perancis, Sepanyol dan Switzerland apabila mereka ditahan di sungai Cuninico dan tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

Tetapi selepas seharian membiarkan kumpulan pelancong tersebut terperangkap di dalam bot tanpa air dan elektrik, ketua kumpulan orang asli itu, Watson Trujillo akhirnya bersetuju melepaskan tebusan itu.

Trujillo berkata, mereka berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan perhatian kerajaannya kerana tidak menyalurkan bantuan mencukupi selepas insiden tumpahan minyak di sungai tersebut September lalu.

Trujillo mendakwa dua kanak-kanak dan seorang wanita meninggal dunia akibat tumpahan minyak dari saluran paip Petroperu dikendalikan kerajaan di sungai itu dan mereka kini kehilangan sumber air bersih dan makanan utama.

Menurut laporan jurucakap yang membantu proses rundingan dengan kumpulan orang asli tersebut, penahanan tebusan berkenaan disedari selepas salah seorang pelancong wanita meminta bantuan di laman sosial miliknya.

“Mereka baik dan menghormati kami, tetapi mungkin inilah satu-satunya cara yang mereka temui untuk mencari penyelesaian. Lebih cepat mereka didengari lebih cepat mereka akan melepaskan kami. Bantu saya, kami sihat dari segi fizikal. Bantu saya dan bantu mereka untuk didengari,” tulis Angela Ramirez di laman sosial miliknya.

Kesemua pelancong termasuk wanita mengandung, orang kurang upaya dan seorang bayi berjaya diselamatkan dan pindahkan dari kawasan tersebut namun kerajaan tempatan enggan mengulas berhubung insiden itu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN