Nahas MH17: Tiga tertuduh dipenjara seumur hidup - Utusan Malaysia

Nahas MH17: Tiga tertuduh dipenjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Belanda mensabitkan kesalahan terhadap tiga tertuduh dan menggugurkan tuduhan terhadap seorang lagi yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 di ruang udara Ukraine ketika ia dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis berkata, dua rakyat Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinskiy dan warga Ukraine, Leonid Kharchenko didapati bersalah atas dakwaan membunuh dan sengaja menyebabkan nahas pesawat Malaysia Airlines tersebut.

“Ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup,” katanya ketika membacakan keputusan akhir yang dinanti-nantikan waris keluarga 298 mangsa penumpang dalam tragedi itu walaupun kesemua defendan masih gagal menghadirkan diri ke Kompleks Kehakiman Schiphol di Badhoevedorp.

Panel hakim itu sebulat suara mendapati Girkin, Dubinskiy dan Kharchenko bertanggungjawab memindahkan peluru berpandu BUK berkenaan dari pangkalan tentera di Rusia dan menempatkannya ke tapak pelancaran walaupun bukan mereka yang melancarkan misil tersebut.

Bukti bagaimanapun tidak mencukupi untuk mendakwa Pulatov yang menjadi satu-satunya defendan yang diwakili peguam.

“Terdapat bukti jelas MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan ia dilancarkan dari kawasan timur Ukraine yang dikawal puak pemisah pro-Rusia, Republik Rakyat Donetsk (DPR).

“Bukti yang dikemukakan termasuk gambar jejak asap, keterangan saksi, imej satelit dan video, pintasan telefon serta serpihan peluru berpandu yang berjaya dikumpulkan,” jelas Steenhuis.

Mahkamah turut menolak ‘senario alternatif’ yang dicadangkan pasukan pembelaan termasuk dakwaan Moscow yang mengaitkan kejadian itu dengan jet pejuang Ukraine.

Perbicaraan yang bermula pada Mac 2020 itu bertujuan untuk mendapatkan pembelaan terhadap kesemua mangsa penumpang dari 10 negara termasuk 196 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 warga Australia.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan MH17, Piet Ploeg yang kehilangan beberapa ahli keluarganya dalam tragedi tersebut berharap keputusan itu dapat membantu waris meneruskan kehidupan masing-masing walaupun ia bukanlah pengakhiran kepada usaha mereka untuk menuntut bela. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.