Loy Krathong: Hukuman mati menanti jika terbangkan tanglung di zon keselamatan - Utusan Malaysia

Loy Krathong: Hukuman mati menanti jika terbangkan tanglung di zon keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Orang ramai yang meraikan sambutan Loy Krathong minggu depan diberi amaran bahawa mereka boleh dikenakan hukuman mati sekiranya didapati mengapungkan tanglung berhampiran zon keselamatan udara di Thailand.

Malah, Lapangan Terbang Thailand (AOT) sudah mengumumkan tanglung diharamkan diapungkan di sekitar enam lapangan terbang utama negara itu pada Selasa dan Rabu, berikutan tanglung, belon, bunga api, lampu laser, dron dan barangan lain mungkin mengganggu penerbangan pesawat.

Menerusi pengumuman di Facebook, AOT memaklumkan, pihaknya menguatkuasakan Akta Navigasi Udara, yang melarang pelepasan tanglung di udara, roket, bunga api, pancaran laser dan objek seumpamanya di zon keselamatan udara.

Menurut akta itu, objek menyebabkan gangguan pada pesawat mengakibatkan ia tidak dapat terbang, membahayakan atau mungkin membahayakan keselamatan penerbangan, boleh disabitkan hukuman mati, penjara seumur hidup atau denda 600,000 hingga 800,000 baht (RM76,400 hingga RM102,000).

Enam lapangan terbang AOT itu ialah Suvarnabhumi dan Don Mueang terletak di Bangkok; Chiang Mai, Chiang Rai (Mae Fah Luang); Phuket dan Hat Yai di Songkhla.

Langit di Chiang Mai dan di seberang utara biasanya penuh dengan ‘khom loi’ atau tanglung kertas yang diapungkan menggunakan udara panas daripada haba lilin, satu amalan popular ketika sambutan Loy Krathong.

Menurut AOT lagi, orang ramai yang ingin mengapungkan tanglung di luar zon keselamatan udara perlu mendapatkan kebenaran daripada pentadbiran wilayah tempatan mereka.

Di Chiang Mai, tanglung udara diharamkan di enam daerah, meliputi Muang Chiang Mai, Hang Dong, Saraphi (daerah Khua Mung, Don Kaew, Tha Wang Tan, Nong Phueng dan Sansai), Mae Rim (Don Kaew, Rim Tai, Mae Sa, Muang Kaew, mukim Rim Nuea), Sansai (daerah Nong Han) dan San Pa Tong (daerah Tung Tom).

Katanya, tanglung udara ketika Loy Krathong dibenarkan untuk diapungkan di luar zon keselamatan udara antara pukul 7 malam dan 1 pagi.

Setakat ini, 53 penerbangan dibatalkan dan 24 penerbangan dijadualkan semula sepanjang tempoh perayaan terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN