Lelaki dijel 6 bulan biar lembu berkeliaran di jalanan - Utusan Malaysia

Lelaki dijel 6 bulan biar lembu berkeliaran di jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sebuah mahkamah di Gujarat, barat India menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan ke atas seorang lelaki atas kesalahan membiarkan haiwan ternakannya berkeliaran di jalanan.

Lapor BBC, Prakash Jairam Desai didapati bersalah kerana membiarkan lembu peliharaannya berkeliaran bebas sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang ramai.

Gujarat antara beberapa negeri di India menghadapi masalah haiwan terbiar di jalan raya yang semakin meningkat.

Menurut mahkamah, hukuman setimpal itu dikenakan memandangkan kesalahan seperti itu semakin meningkat saban hari.

Lembu dianggap suci oleh penganut agama Hindu dan penyembelihannya adalah dilarang di 18 negeri di India termasuk Gujarat.

Pada 2017, Gujarat mengetatkan undang-undang berkaitan perlindungan dan kebajikan haiwan dengan menyatakan individu yang menyembelih lembu boleh dihukum penjara seumur hidup.

Akibat keputusan itu, sejumlah besar lembu berkeliaran di jalanan sehingga menyebabkan beberapa masalah seperti kesesakan lalu lintas dan mengancam keselamatan orang ramai.

Lapor The Times of India, berdasarkan perintah mahkamah, penduduk tempatan terbunuh dan mengalami cedera parah disebabkan pemilik haiwan membiarkan lembu berkeliaran di jalanan.

Gujarat merupakan antara beberapa negeri di India yang dilanda ‘Lumpy Skin Disease’ (LSD) atau penyakit kulit berketul yang membawa kepada kes kematian lembu, pada awal tahun ini.

Lebih 5,800 kes kematian lembu dan kira-kira 170,000 ekor haiwan itu dianggarkan terjejas dengan penyakit itu di Gujarat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya