DES MOINES: Sebuah lagi ladang telur komersial di Iowa dijangkiti selesema burung semalam, selepas kes pertama membabitkan ladang ayam belanda yang dikenal pasti pada April lalu.
Kes terbaru itu membabitkan ladang yang menempatkan hampir 1.1 juta ayam di Wright County, kira-kira 130 kilometer utara Des Moines, utara ibu kota Iowa.
Sebanyak 15 ladang komersial di Iowa dijangkiti penyakit terbabit tahun ini, termasuk ayam belanda, ayam penelur dan pedaging, selain lima ladang ternak lebih kecil.
Berikutan kadar penularan virus yang sangat tinggi, semua unggas di ladang yang dijangkiti penyakit itu akan dibunuh dan dilupuskan bagi mengelak jangkitan.
Iowa paling teruk terjejas membabitkan lebih 13.3 juta unggas dijangkiti tahun ini, dengan angka itu tidak termasuk jumlah ternakan di ladang yang baru dikenal pasti dijangkiti virus terbabit.
Berdasarkan rekod Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS), lebih 47.7 juta unggas di 43 negeri direkodkan terjejas, merangkumi 251 ternakan komersial dan 328 ladang ternak kecil.
Kebanyakan kes Iowa dikenal pasti ketika musim penghijrahan burung liar pada Mac dan April lalu, dengan satu dilaporkan pada awal Mei.
Virus itu tidak dikesan lagi sehingga ternakan di beberapa ladang kecil dijangkiti pada 20 Oktober lalu, diikuti jangkitan terbaru yang disahkan semalam.
Pegawai pertanian Persekutuan dan negeri bimbang kemungkinan penularan semula susulan penghijrahan burung liar pada musim luruh yang sering membawa virus.
Ia boleh merebak melalui habuk dan tanah yang tercemar dengan najis atau cecair hidung daripada burung dijangkiti.
Setiausaha Pertanian Iowa, Mike Naig, berkata pihaknya bersedia berdepan kemungkinan penularan susulan selain menjalin kerjasama dengan USDA dan pengeluar bagi membasmi wabak terbabit. – AP