MANILA: Polis Filipina hari ini menuduh ketua penjara di negara ini mengarahkan pembunuhan seorang wartawan radio yang kematiannya mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Penyampai radio Percival Mabasa, 63, yang terkenal dengan gelaran Percy Lapid dalam programnya ditembak mati di pinggir Manila pada 3 Oktober lalu ketika memandu ke studio.
Polis kemudiannya memfailkan aduan kepada Ketua Biro Penjara, Gerald Bantag yang kini digantung tugas.
Suspek yang melepaskan tembakan, Joel Escorial, menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas polis mendedahkan lakaran wajahnya kepada umum.
Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla berkata, Bantag mungkin menjadi pegawai tertinggi yang dikenakan dakwaan seperti itu.
Bantag dipercayai mengarahkan pembunuhan Mabasa kerana penyampai radio itu sering mendedahkan ‘keburukan ketua penjara’ itu dalam program kendaliannya. – AFP