Kanak-kanak 6 tahun ditemukan bersebelahan mayat nenek di bawah runtuhan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 6 tahun ditemukan bersebelahan mayat nenek di bawah runtuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CIANJUR: Anggota pasukan keselamatan menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terperangkap selama dua hari di bawah runtuhan rumahnya, akibat gempa bumi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 271 orang setakat ini.

Media tempatan melaporkan, kanak-kanak itu ditemui di sebelah mayat neneknya di bawah runtuhan rumahnya.

Pada masa yang sama, pasukan penyelamat masih melakukan operasi mencari serta menyelamat mangsa yang terperangkap di kawasan perkampungan Cijendil yang paling teruk dilanda, menyaksikan sejumlah insiden tanah runtuh berlaku.

Angka kematian bencana itu mungkin meningkat dengan masih ramai hilang, terutama di beberapa kawasan terpencil dan lebih 2,000 orang cedera dalam gempa bumi tersebut.

Mangsa yang maut dalam gempa bumi kali ini adalah pelajar sekolah awam yang sedang mengikuti pelajaran tambahan di sekolah agama apabila bangunan runtuh, kata Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil.

Lebih 12,000 anggota tentera dikerahkan untuk meningkatkan usaha mencari dan menyelamat oleh polis, agensi mencari dan menyelamat dan sukarelawan selain membawa makanan, ubat, selimut dan khemah padang, kata Ketua Badan Bencana Nasional Indonesia, Suharyanto.

Suharyanto berkata, bantuan bekalan air, makanan dan perubatan sedang disalurkan kepada beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal yang melarikan diri ke pusat perlindungan sementara.

Setakat ini, katanya, seramai 2,043 orang cedera, termasuk lebih 600 yang masih menerima rawatan kerana kecederaan serius, dan hampir 62,000 terselamat yang sudah dipindahkan ke pusat perlindungan.

“Ramai mangsa berada di tempat perlindungan sementara yang dilanda hujan lebat dan mendakwa mereka kehabisan makanan, selimut dan bantuan lain dan kita sedang berusaha menghantar bekalan kecemasan ke sana,” katanya.

Suharyanto juga berkata, kira-kira 100 daripada 271 kematian yang disahkan adalah kanak-kanak.

Sukarelawan dan anggota penyelamat mendirikan pusat perlindungan sementara bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di beberapa kampung di daerah Cianjur. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.