SUKOHARJO: Seorang jurusolek artis yang berasal dari Sukoharjo, Debrina Dewi Widiasari mengakui mendapat tawaran untuk menyolek bakal pengantin Kaesang Pangarep yang merupakan anak Presiden Joko Widodo dengan pasangannya, Erina Gudono di Solo, Jawa Tengah.

Jemputan itu disampaikan oleh adik Erina, Shania Sofia Gudonoa menerusi pesanan Whatsapp yang diterima Debrina pada 4 November lalu.
Namun, Debrina terpaksa menolak tawaran tersebut kerana dia sudah mempunyai tempahan lain.
“Tarikh itu jatuh pada hari yang sama saya perlu menyolek pasangan pengantin lain.
“Kedua-dua pasangan pengantin itu sudah membayar duit pendahuluan, maka saya perlu jalankan tanggungjawab saya menyolek mereka,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Selain itu, Debrina juga memaklumkan dia tidak berani mengambul tempahan terlalu banyak kerana bimbang hasil solekannya kurang berkualiti.
Dia mengakui, peluang menyolek pasangan pengantin yang merupakan anak presiden merupakan batu loncatan besar buatnya, namun dia tidak sanggup melanggar janji dengan pasangan yang sudah buat tempahan terlebih dahulu.
“Sudah tentu saya seronok dengan tawaran itu, tapi adalah tidak adil jika saya batalkan tempahan yang sudah dibuat dua bakal pengantin sebelum ini.
“Mereka juga berhak menerima solekan terbaik semasa hari bahagia mereka.
“Mungkin selepas ini ada rezeki untuk saya menyolek anak VVIP yang lain,” ujarnya.
Majlis perkahwinan Kaesang dan Erina dijangka berlangsung pada 10 Disember ini di Yogyakarta.