BEIJING: Kes jangkitan Covid-19 di seluruh China semakin hampir dengan jumlah yang direkodkan semasa pandemik baru bermula.
Setakat ini, kes jangkitan di seluruh negara direkodkan sebanyak lebih 28,000.
Antara kawasan yang merekodkan peningkatan kes termasuk wilayah Guangdong dan bandar Chongqing iaitu lebih 16,000 serta 6,300 kes.
Jumlah kes baharu di Beijing juga memuncak sejak beberapa hari lalu iaitu sebanyak 1,438 kes sejak Ahad lalu.
Peningkatan mendadak itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang tidak mahu dikenakan perintah berkurung lagi, selain kemungkinan penutupan hab-hab perniagaan antarabangsa seperti Shanghai sebelum ini.
Para pelabur turut menzahirkan harapan supaya pihak berkuasa China kali ini tidak bertindak agresif sehingga menjejaskan sektor pelaburan.
Namun, harapan itu sukar dicapai memandangkan pihak berkuasa China masih komited dengan polisi sifar Covid-19 yang dilaksanakan negara ini.
Biarpun beberapa peraturan Covid-19 sudah dilonggarkan, polisi itu masih berkuatkuasa di seluruh negara. – AFP