SEATTLE: Pengasas Amazon, Jeff Bezos disaman oleh bekas pembantu rumahnya yang mendakwa mengalami diskriminasi perkauman dan masalah kesihatan akibat kesukaran untuk pergi ke tandas selepas sering dihalang memasuki beberapa ruang di rumah jutawan itu kecuali ketika melaksanakan tugasan pembersihan.
Lapor The Guardian, Mercedes Wedaa yang bekerja membersihkan rumah agam Bezos di Seattle selama tiga tahun mendakwa dipaksa untuk memanjat keluar dari tingkap bilik dobi jika ingin menggunakan tandas di rumah berkenaan.
Akibat keadaan itu, Wedaa dan pembantu rumah lain terpaksa menahan diri daripada menggunakan tandas menyebabkan mereka sering mengalami jangkitan saluran kencing.
Dalam tuntutan yang difailkan di sebuah mahkamah di Seattle itu, Wedaa turut mendakwa dia dan kakitangan pembersihan lain menerima layanan berbeza dan lebih kasar berbanding kakitangan kulit putih.
Wedaa berkata, dia sering diarahkan bekerja selama 10 hingga 14 jam tanpa makan tengah hari atau rehat jika Bezos dan keluarganya berada di kediaman itu dan tiada ruang rehat khusus disediakan kepada kakitangan pembersihan kecuali di bilik dobi.
Wedaa memfailkan saman kepada Bezos bersama dua lagi syarikatnya, Zefram dan Northwestern yang menguruskan kepentingan dan hartanahnya.
Peguam Bezos, Harry Korrell berkata, pihaknya sedang menyiasat tuntutan itu dan menyifatkan dakwaan Weda yang merupakan bekas ketua pembantu rumah itu tidak berasas.
“Wedaa ditamatkan perkhidmatan atas sebab prestasi dan dia pada mulanya menuntut sebanyak AS$9 juta (RM42.7 juta) tetapi apabila syarikat enggan membayar, dia memutuskan untuk memfailkan saman ini. Semua dakwaan tersebut tidak masuk akal,” katanya.