Glasier terkenal dunia bakal lenyap pada 2050 - Utusan Malaysia

Glasier terkenal dunia bakal lenyap pada 2050

LEBIH satu pertiga daripada jumlah glasier di 50 tapak warisan dunia dijangka akan lenyap menjelang tahun 2050.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Beberapa glasier paling terkenal di dunia berkemungkinan akan lenyap menjelang tahun 2050 akibat pemanasan global.

Menurut laporan terbaharu Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), glasier tersebut termasuk Dolomites di Itali, taman Yosemite dan Yellowstone di Amerika Syarikat (AS) dan Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

UNESCO memantau kira-kira 18,600 glasier di 50 tapak warisan dunia dan menganggarkan satu pertiga daripadanya akan hilang menjelang 2050 walaupun usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu giat dijalankan. 

Ketua Pengarah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN), Dr. Bruno Oberle berkata, walaupun selebihnya boleh diselamatkan dengan mengekalkan kenaikan suhu global di bawah 1.5 darjah Celcius, kira-kira 50 peratus daripada glasier warisan dunia ini mungkin akan hilang sepenuhnya menjelang tahun 2100.

“Apabila glasier mencair dengan cepat, berjuta-juta orang bakal berdepan kekurangan air dan peningkatan risiko bencana alam seperti banjir sementara berjuta-juta lagi mungkin akan dipindahkan akibat peningkatan paras laut yang terhasil.

“Kajian ini memperlihatkan keperluan mendesak untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang boleh membantu mengurangkan perubahan iklim selain membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dengan lebih baik terhadap kesannya,” ujarnya.

Di samping mengurangkan pelepasan karbon, UNESCO turut menyeru untuk mewujudkan dana antarabangsa bagi memantau dan memelihara glasier di seluruh dunia.

Jelas Bruno, dana tersebut penting kerana boleh digunakan untuk melaksanakan amaran awal dan langkah pengurangan risiko bencana akibat pencairan glasier.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya