TOKYO: Seorang gadis Jepun mencetus kontroversi baru-baru ini selepas mendedahkan sudah menjalani pembedahan plastik sejak di bangku sekolah dan membelanjakan lebih 10 juta yen (RM333,343) untuk menukar penampilannya.
Menurut portal Oddity Central, Zirazyo merupakan seorang pempengaruh media sosial Jepun yang mula mendapat perhatian warganet selepas mendedahkan bahawa penampilan menariknya sekarang adalah hasil daripada pembedahan plastik.
Gadis muda itu memuat naik video di laman TikTok menceritakan dia menjalani prosedur kosmetik pertama ketika baru berusia 11 tahun dan wajahnya semakin cantik hanya selepas pembedahan kali ketiga.
Gadis itu mengaku bergelut dengan pelbagai kritikan kerana pembedahan itu, tetapi mahu memecahkan stigma bahawa pembedahan plastik bukan perkara negatif.
Zirazyo berkata, dia membuat keputusan menjalani pembedahan plastik kerana terlalu cemburu dengan kecantikan semula jadi adik perempuannya serta didorang minat yang mendalam untuk memasuki industri hiburan.
Jelas Zirazyo, dia sering dibuli dan ditertawakan rakan-rakan di sekolah tetapi tidak membiarkan perkara itu mengganggu emosinya malah menganggap mereka hanya iri hati dengan rupanya yang comel kini.
Pada masa sama, Zirazyo menasihati orang ramai untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain jika mahu menjaga kesihatan mental mereka, kerana media sosial hari ini benar-benar boleh membuat pengguna tertekan.
Dia mengakui pembedahan plastik mempunyai sisi gelap dan sesetengah orang boleh menjadi terlalu ketagih dengan prosedur kosmetik itu.