Cuaca lebih lembab diramal landa Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Cuaca lebih lembab diramal landa Asia Tenggara

BANYAK rumah ditenggelami banjir di utara Filipina berikutan Taufan Nesat. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Beberapa bahagian benua maritim timur mungkin menghadapi keadaan lebih lembap minggu ini berikutan corak cuaca La Niña, menurut Pusat Pakar Meteorologi ASEAN (ASMC).

Lapor Bernama yang memetik ASMC, keadaan lebih kering berkemungkinan berlaku di sebahagian besar tanah besar di kawasan tengah dan timur manakala cuaca lebih sejuk melanda kawasan tengah dan tenggara.

“Untuk penilaian serantau, terdapat peningkatan kecil keadaan itu berlaku di Semenanjung Malaysia,” menurut pusat tersebut.

ASMC juga meramalkan peluang sederhana di Sulawesi, Nusa Tenggara dan Kepulauan Maluku untuk menerima hujan sangat lebat dan peningkatan sederhana untuk keadaan panas melampau di Filipina.

Sepanjang minggu lalu, 43 bencana terdiri dua gempa bumi, 28 banjir, lapan tanah runtuh, satu ribut dan empat berkaitan angin sudah menjejaskan rantau itu terutama Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia melaporkan banjir, tanah runtuh dan kejadian berkaitan angin disebabkan hujan sederhana hingga lebat, air pasang, angin kencang, keadaan tanah yang tidak stabil, limpahan air sungai dan saluran pengairan.

Kawasan yang terjejas iaitu Aceh, Bali, Banten, Bengkulu, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan Selatan, Lampung, Nusa Tenggara Timur, Sulawesi Barat, Sulawesi Tengah dan Sulawesi Utara.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan bahawa banjir berlaku di Kedah dan Melaka.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina melaporkan banjir, tanah runtuh, ribut dan angin yang disebabkan Ribut Tropika Nalgae serta gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter di Abra. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN